DIALOG RAKYAT

MELAPORKAN BERITA-BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA...

Jumaat, 23 Julai 2021

Lelaki maut, anak saudara parah ditembak jiran

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki yang maut  ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai di sini hari ini. - Foto GHAZALI KORI
Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki yang maut ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai di sini hari ini. - Foto GHAZALI KORI

MARANG: Seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, pula parah dan dirawat di Hospital Hulu Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sebelum kejadian, dua mangsa bersama suspek dikatakan berada di kawasan rehat di taman perumahan berkenaan sebelum berlaku insiden berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 56 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke arah kedua-dua lelaki terbabit.

"Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek ada mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri.

"Suspek yang melarikan diri menaiki sebuah jip bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun kira-kira jam 4.20 petang tadi.

"Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menembak kedua-dua mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Anggota forensik PDRM menjalankan siasatan di kawasan tempat kejadian selepas seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai di sini hari ini. - Foto GHAZALI KORI
Anggota forensik PDRM menjalankan siasatan di kawasan 
tempat kejadian selepas seorang lelaki maut manakala anak 
saudaranya parah selepas ditembak jirannya dipercayai 
menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya 
Wakaf Tapai di sini hari ini. - Foto GHAZALI KORI

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan perumahan sama.

Katanya, motif sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.

"Mengenai dakwaan yang mengatakan kejadian ada kaitan dengan kes judi dan minuman keras, tiada sebarang botol minuman keras atau unsur perjudian di lokasi kejadian.

"Kita sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala anak saudaranya yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu," katanya.

ELBI RISALAH di 7/23/2021 06:44:00 PTG
Kongsi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

‹
›
Laman utama
Papar versi web
Dikuasakan oleh Blogger.