Jam 11 pagi ini ribuan doktor kontrak di Malaysia dijangka akan menyertai mogok umum yang mereka namakan ‘Hartal Doktor Kontrak’ (Mogok Umum Doktor Kontrak) – penggunaan perkataan ‘hartal’ untuk menunjukkan mereka masih ada etika dan moral dalam profesion kedoktoran.
Malah penggunaan perkataan ‘hartal’ itu juga untuk mengelirukan rakyat Malaysia apabila ramai yang tertanya-tanya mengenai maksud sebenarnya.
Mungkin ramai yang keliru apa dimaksukan dengan ‘hartal’. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘hartal’ yang kedua ialah pemogokan umum sebagai bantahan terhadap sesuatu. Hartal pertama ialah sejenis bedah basah berwarna kuning.
Mudah dibuat telahan kenapa perkataan ‘hartal’ digunakan. Jika menggunakan perkataan ‘mogok’ ia akan dilihat sebagai tindakan yang keras dengan tidak mahu bekerja jika tuntutan pemogok tidak dipenuhi.
Penganjur ‘Mogok Doktor Kontrak’ ingin menunjukkan kepada umum bahawa mereka kini terpaksa mengetepikan sumpah, etika dan moral kedoktoran, kerana ingin mengejar wang dan pangkat.
Apa lagi tatkala negara memerlukan khidmat mereka bagi berdepan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat sekarang ini. Beretikakah dan bermoralkan seorang doktor meninggalkan tugas ketika pesakit sedang mengelupur di atas katil di dalam wad?
Etika perubatan mempunyai penyelesaian yang fleksibel. Ini berdasarkan fakta dan logik, dan bukan doktrin agama atau politik.
Anda masih boleh mempunyai pendapat politik dan kepercayaan, tetapi anda harus mengetepikannya ketika etika memerlukan anda melaksanakan tanggungjawab dan sumpah yang telah diangkat – ‘primum non nocere’.
‘Pertamanya jangan lakukan sesuatu yang buruk’ atau ketidakadilan terhadap pesakit mereka. Itu yang dimaksudkan dengan ‘primum non nocere’ sebagaimana diberitahu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang turut menggesa doktor kontrak terbabit tidak melancarkan mogok umum hari ini.
Mogok itu boleh membahayakan nyawa manusia dan juga kerjaya doktor berkenaan.
“Kami faham pada ketika anda mahu untuk terus bertugas dengan kementerian (Kementerian Kesihatan) secara tetap, pada masa ini kerajaan telah mengumumkan penambahan kontrak jawatan dua tahun untuk mereka.
“Ini akan memberikan masa untuk pindaan dilakukan kepada Akta Pencen, supaya jawatan tetap boleh dibenarkan untuk mencarum dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), sebagai contohnya, tanpa pilihan untuk pencen,” katanya.
Beliau turut menjelaskan yang kerajaan akan membenarkan mereka berjawatan secara kontrak dibenarkan untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana, walaupun pada ketika berjawatan kontrak dan akan ditawarkan ke jawatan tetap dengan KWSP apabila ia dibenarkan.
“Saya ingin mengingatkan bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan kita. Ingatlah kepada sumpah yang kita ambil secara ikhlas dan untuk berada bersama pesakit anda pada ketika mereka dan negara anda amat perlukan.
“Kitalah barisan pertahanan terakhir untuk memberikan rawatan kepada pesakit kita dan setiap nyawa adalah penting,” katanya.
Tetapi ada sesuatu yang kelihatan agak pelik apabila kumpulan doktor-doktor kontrak itu mahu melancarkan mogok ketika ini. Semakin pelik apabila penganjurnya mengarahkan doktor yang menyertai mogok itu merakam gambar dan video untuk dimuatkan ke dalam media sosial.
Kenapa waktu ini? Waktu di mana kes Covid-19 sedang meningkat dan mendapat perhatian dunia? Kenapa gambar dan video itu mahu ditularkan di dalam media sosial.
Pertama untuk memalukan kerajaan Malaysia dan kedua untuk menarik perhatian masyarakat. Pastinya tindakan tidak bermoral doktor-doktor kontrak yang menyertai mogok itu akan mendapat perhatian media antarabangsa sekali gus membuat laporan negatif mengenai Malaysia.
Pastinya juga ahli politik blok pembangkang dan sekutu mereka gembira dan menyokong doktor-doktor kontrak ini melakukan mogok. Mereka akan mengeksploitasi isu itu untuk menunjukkan kelemahan kerajaan.
Tidak boleh juga ditolak kemungkinan penganjur ‘Mogok Doktor Kontrak’ itu telah diserap dengan ideologi politik pembangkang. Mungkin ibu bapa atau bapa saudara mereka orang kuat pembangkang dan menyuruh mereka melakukan mogok demi kepentingan politik.
Semua kemungkinan itu tidak boleh ditolak begitu sahaja. Namun, apa pun doktor-doktor yang menyertai MOGOK hari ini sememangnya sudah tidak bermoral lagi dan seharusnya mereka meletak jawatan.
Bukan tidak boleh memiliki ideologi politik sendiri, tetapi tatkala rakyat memerlukan anda, jangan anda pula menolak ‘primum non nocere’
Sebelum ini media melaporkan kira-kira 23,000 doktor berjawatan kontrak akan mengadakan demonstrasi di seluruh negara pada 26 Julai, selepas pelbagai usaha kumpulan itu untuk mendapatkan penyerapan ke jawatan tetap masih gagal membuahkan hasil.
Bagaimanapun pada 23 Julai, kerajaan telah bersetuju supaya lantikan kontrak kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi untuk ditawarkan kontrak perkhidmatan dua tahun, sebaik tamat tempoh khidmat wajib mereka.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu adalah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
Perdana Menteri berkata, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun, bagi pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.
Namun, MOGOK DOKTOR KONTRAK tetap mahu dilaksanakan juga dengan mengetepikan nyawa pesakit.
Justeru, hari ini rakyat akan memerhati mana satu doktor yang tidak
beretika dan sudah hilang moral sebagai insan yang mengangkat sumpah
untuk menyelamatkan nyawa walau seekor anjing sekalipun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.