Rabu, 28 Julai 2021

Doktor dan hartal

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Setiap alam pekerjaan ada kelebihan, cabaran tersendiri

SAYA mungkin tidak layak untuk memberikan ulasan tentang hartal doktor muda yang berlaku semalam. Saya bukan doktor perubatan, maka saya tidak tahu perincian apa yang berlaku di alam itu. Saya cuma ada kenalan dan saudara mara dari kalangan doktor-doktor sahaja; tetapi pergaulan dengan mereka yang berusia dan yang muda walaupun sudah lama, pasti tidak akan memahamkan saya sepenuhnya tentang dunia mereka sebagaimana mereka juga tidak faham dunia saya dan rakan-rakan saya sang asatizah.

2. Anggap sahajalah ini sebagai perkongsian santai dan luahan rasa dari pengalaman seorang kenalan yang sudah memasuki usia separuh abad. Jika ada baiknya, ambillah. Jika tidak ada, biarkan sahaja. Jika ada komen, silakan. Saya akan baca tetapi saya tidak akan balas untuk tulisan ini.

3. Setiap alam pekerjaan ada kelebihan dan cabarannya yang tersendiri. Ada habitat yang perlu difahami sebaiknya. Sebagai pelajar cerdik yang dapat keputusan baik semasa SPM, sudah tentu doktor-doktor muda mengkaji kelebihan dan cabaran di dunia perubatan itu. Kisah keperitan ketika HO, kisah tidak cukup rehat, kisah emosi yang tersentuh ketika melihat kematian pesakit di depan mata dan pelbagai kisah lagi adalah suatu yang sesiapa sahaja dari kalangan lepasan SPM yang cemerlang akan faham. Saya andaikan semua akan buat pilihan untuk memasuki profesion perubatan ini dengan penuh kesedaran, sebagaimana saya juga pernah SPM dan pernah ada banyak pilihan dan pernah memilih secara nekad untuk tidak mengisi borang UPU dan secara nekad hanya mahu masuk al-Azhar. Secara sedar saya cuma mahu jadi ustaz dan orang yang faham syariah walaupun saya tahu di zaman itu tiada peluang pekerjaan yang luas untuk ustaz kecuali di dunia pendidikan dan beberapa bidang lain yang amat terbatas. Saya andaikan begitulah juga yang dilakukan oleh doktor-doktor muda ini dulu.

4. Secara jujur juga saya ingin bertanya; adakah liku-liku laluan kerjaya sebagai doktor perubatan suatu yang doktor-doktor muda baru tahu selepas tamat belajar? Tidakkah ianya dimaklumi ketika SPM lagi? Dengan kecerdikan yang Allah berikan lebih dari orang lain, saya andaikan ianya mudah untuk difahami oleh sesiapa sahaja pelajar cemerlang SPM walaupun baru berusia 18 tahun. Atau adakah apa yang berlaku ketika memilih bidang perubatan ini sebaliknya?

Jawapan kepada pertanyaan ini penting kerana ia menjawab sebahagian persoalan berkenaan kenapa doktor-doktor muda melakukan hartal semalam walaupun setelah sebahagian tuntutan mereka dijanjikan satu bentuk tawaran baru oleh kerajaan. Kalau hartal diteruskan sebelum respon balas rasmi dari kerajaan pada 23 Julai, itu saya boleh faham. Tetapi hartal selepas tiga hari respon balas kerajaan, itu saya tidak faham. Dan sebenarnya ramai rakan-rakan saya dalam bidang kejuruteraan, perakaunan, pendidikan, perniagaan, komputer, guaman dan lain-lain juga tidak faham.

5. Ada persamaan hartal yang dianjurkan semalam dengan hartal-hartal lain dalam sejarah negara kita ini.

Persamaan pertama adalah kerana perkataan yang dipilih adalah hartal. Kenapa tidak ‘mogok’? Kenapa tidak ‘bantahan’? Kenapa tidak perkataan lain dari ‘hartal’? Hartal ada maknanya yang tersendiri dan ia pernah digunakan beberapa kali dalam sejarah untuk menguatkan aliran kuasa rakyat. Kuasa rakyat adalah istilah yang diguna pakai oleh golongan liberal yang anti kepada kewujudan satu kerajaan yang berkuasa. Saya tinggalkan noktah ini terbuka begini. Jika sudi buatlah carian sendiri berkenaan sejarah hartal di negara kita terutamanya hartal 1947 dan hartal 1967. Kemudian ukurlah adakah doktor-doktor muda yang berhartal semalam memang mahu dikenali di masa akan datang sebagai sebahagian dari pejuang hartal dalam garis masa sejarah negara yang panjang?

6. Persamaan lain dalam hartal adalah kebiasaannya tuntutannya akan bercampur baur. Disenaraikan tuntutan yang baik-baik, dan pada masa yang sama terselit tuntutan yang tidak baik.

Dalam hartal 1947, dari 10 prinsip Perlembagaan Rakyat dan 12 prinsip hartal yang mereka perjuangkan (banyaknya adalah baik), terselit tuntutan kesamarataan hak antara Melayu dan orang luar yang datang sebagai pekerja dan belum menjadi warganegara.

Perkara yang sama saya yakin berlaku di sini. Apakah tuntutan hartal doktor kali ini? Saya kurang faham jika tuntutannya hanya desakan untuk menyegerakan lantikan tetap dan peluang untuk sambung kepakaran. Saya dengar ada tuntutan lain yang ditunggang bersama oleh penganjur awal, tetapi tidak disebut secara jelas dalam kempen hartal. Mungkin doktor-doktor yang menyertai hartal boleh kongsikan dengan pembaca apakah keseluruhan tuntutan itu.

7. Selain itu hartal juga adalah mekanisme untuk tunjukkan siapakah yang lebih berkuasa; kerajaan atau satu kumpulan dalam masyarakat yang kononnya mewakili rakyat. Adakalanya tuntutan hartal itu sendiri bukan matlamat utama hartal. Tetapi menunjukkan kuasa itu lebih utama sebagai matlamat hartal.

Dalam hartal 1967, apa yang ingin ditunjukkan hanyalah bahawa kapitalis Cina pada masa itu mempunyai kekuatan memaksa melebihi kekuatan kerajaan. Tetapi isu yang dibangkitkan adalah isu nilai ringgit yang jatuh. Parti Buruh pada ketika itu seolah-olah ingin menyampaikan mesej bahawa merekalah yang akan menentukan kedai dibuka atau ditutup.

Dalam hartal ini, kerajaan ditekan hingga ke sudut supaya ikut segala perincian tuntutan. Sedangkan ‘win-win solution’ lebih menguntungkan semua pihak dan agak praktikal. Tetapi dalam pertarungan menunjukkan kekuatan, istilah ‘win-win’ adalah kekalahan dan mereka yang menganjurkan hartal tidak mahu kalah.

8. Satu yang saya bimbangi dalam persamaan hartal-hartal yang berlaku dalam sejarah adalah kesan jangka panjangnya tidak pernah baik. Ia tidak berhenti hanya ketika hartal sahaja, sebaliknya ada kesan yang perlu ditanggung.

Hartal 1947 membawa kepada pengisytiharan darurat. Ramai aktivis Melayu Islam ditangkap sekali dengan bangsa lain. Banyak pertubuhan diharamkan. Hartal 1967 dianggap oleh sebahagian pengkaji sebagai pencetus kepada 13 Mei 1969.

Hartal 26 Julai 2021 akan membawa ke mana? Wallahu a’lam.

9. Persamaan lain juga, kesan dari hartal ini walaupun perit, sebenarnya ia amat disukai oleh golongan liberal. Jika pihak pemerintah mengambil tindakan mengenakan tindakan taratertib, menangkap atau memenjarakan pejuang hartal, maka mereka lebih gembira walaupun tuntutan hartal mereka tidak dipenuhi.

Kenapa begitu?

Kerana kerajaan yang lemah, disibukkan oleh isu sampingan dan dibenci oleh rakyat adalah matlamat perjuangan golongan liberal. Sesiapa sahaja yang naik sebagai kerajaan, mereka akan pastikan begitu keadaannya. Mereka hanya mahu kerajaan dengan fungsi servis kehendak rakyat sahaja, bukan sebagai penguasa yang berkuasa. Cubalah lihat bagaimana Barat memperlakukan pemerintah mereka dalam isu COVID-19. Ia berbeza dengan fungsi kerajaan dalam agama kita.

10. Saya dan rakan-rakan sebenarnya sudah habis kalimah untuk mengulas isu ini. Setiap kali bercakap tentangnya, biasanya akan ada doktor yang kata kami tidak faham alam mereka, atau kami tidak cukup maklumat dan sebagainya. Oklah. saya cuma bercakap setakat yang saya tahu. Jika ada yang salah, mohon betulkan di ruangan komen.

Akhirnya.

Dari satu sudut lain, saya suka juga jika hartal ini berjaya. Sekurang-kurangnya kerajaan akan lebih tertekan untuk menjaga kebajikan doktor-doktor muda. Saya andaikan semalam akan berlaku mogok sungguh-sungguh lalu hospital secara jelas akan kosong atau kurang dari doktor bertugas dan seterusnya memberikan impak. Tapi ada rakan kata, tak begitu. Mereka tidak tinggalkan tugas. Hanya keluar beberapa minit pakai baju hitam kemudian bergambar.

Oh, berkesankah menekan kerajaan? Atau ianya raptai?

Moga Allah membimbing kita semua.- ISMA WEB

(*) Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni . Presiden ISMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.