Ahad, 27 Jun 2021

Sistem kesihatan Indonesia hampir lumpur, kes Covid-19 semakin naik


Khemah terpaksa didirikan di luar hospital di Indonesia untuk menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19. - Gambar AP

Presiden Joko Widodo berkata Indonesia kini sedang berdepan dengan ‘situasi luar biasa’ ketika jangkitan Covid-19 melepasi dua juta kes di tengah-tengah penularan varian baharu yang semakin membimbangkan pakar kesihatan.

Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia, memperlihatkan peningkatan jangkitan sejak beberapa minggu ini. Hari ini negara itu merekodkan cacatan tertinggi sejak Mac tahun lalu dengan 21,095 kes baharu.

Negara itu yang merupakan lokasi percubaan ujian klinikal peringkat akhir untuk Sinovac keluaran China, memulakan kempen vaksinasinya pada Januari, tetapi hanya dapat memberi vaksin kepada 4.3 peratus daripada 270 juta penduduknya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu memberi amaran peningkatan drastik kadar penggunaan katil hospital di Indonesia menjadi perhatian utama dan memerlukan langkah kesihatan dan sosial masyarakat yang lebih ketat, termasuk sekatan sosial berskala besar.

Kerajaan republik itu bagaimanapun menyalahkan pergerakan orang ramai ketika cuti sambutan Hari Raya Puasa yang lalu, dan kewujudan varian Delta yang pertama kali ditemukan di India.

Dengan lebih dua juta kes keseluruhan dilaporkan semalam, Jakarta menjadi pusat penularan dengan 75 peratus daripada kapasiti katil hospital telah digunakan.

Di ibu kota Indonesia itu kes melonjak mendadak sehingga pihak hospital terpaksa mendirikan khemah sementara untuk dijadikan pusat rawatan.

Di ibu kota wilayah Sumatera Utara, Medan, pegawai perubatan pasukan khas Covid-19, Dr Inke Nadia D Lubis berkata sejak enam bulan lalu 1,800 kanak-kanak dijangkiti virus itu, termasuk 14 yang meninggal dunia.

Lebih sepertiga daripada kes yang dilaporkan itu membabitkan murid sekolah rendah, manakala selebihnya pelajar sekolah menengah, katanya kepada Detik.

Dianggarkan 1,000 pekerja perubatan negara itu meninggal dunia akibat virus berkenaan sejak pandemik bermula, dengan persatuan perubatan Indonesia mengesahkan 401 doktor adalah antara mangsanya, termasuk 14 yang menerima suntikan penuh dua dos vaksin.

Bulan ini lebih 300 doktor dan pekerja kesihatan di Jawa Tengah didapati positif Covid-19.

Peningkatan kes-kes teruk membabitkan pekerja perubatan yang telah disuntik pelalian menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan vaksin Sinovac buatan China. Indonesia sangat bergantung untuk memvaksinasi lebih 180 juta penduduknya awal tahun depan dengan Sinovac.

Jurucakap persatuan perubatan Indonesia, Eka Mulyana berkata ujian klinikal menunjukkan peningkatan kes Covid-19 disebabkan penularan varian yang lebih pantas.

“Di Jawa Barat, kadar penggunaan katil sudah melebihi 90 peratus. Malah, di sesetengah hospital kadarnya sudah melebihi 100 peratus,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.