Kerajaan akan mengumumkan bantuan menerusi moratorium bank dan kemudahan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam masa terdekat.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi lain.
“Saya sudah berbincang dengan PM dan agensi-agensi berkaitan. Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu, kerajaan telah memberi beberapa bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat penguatkuasaan tersebut.
Antaranya adalah pemberian moratorium bersasar dan penambahbaikan program i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi permohonan Kategori 2.
Ini termasuklah mempercepatkan pembayaran pendahuluan i-Sinar sehingga RM1,000 bermula 26 Januari lalu.
Ketika mengumumkannya Perdana Menteri berkata bagi menambah baik i-Sinar terutama untuk mereka menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP 2.0 serta bencana banjir, kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi kemudahan permohonan i-Sinar Kategori 2.
“Proses pembayaran i-Sinar Kateogri 2 juga akan dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka ada kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.
“Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini yang akan dibuat mulai 26 Januari dan maklumat lanjut akan diumumkan KWSP dalam masa terdekat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.