Kangar: Tindakan kompaun akan terus diberikan kepada individu atau pihak yang didapati berkumpul di Perlis bagi membantah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi perhimpunan haram Black Democracy (BD).
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, berdasarkan risikan, pihaknya mendapati tiada perhimpunan berkenaan cuba diadakan di negeri ini setakat ini.
"Risikan kita setakat ini mendapati tiada perhimpunan BD ini akan diadakan di Perlis namun begitu kita akan terus memantau secara teliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) fasa satu kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Malah, tindakan kompaun akan dikenakan jika didapati berlaku ketidakpatuhan SOP," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya akan bersama-sama meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri itu bersama petugas dan anggota keselamatan dari agensi lain.
"Jika ada yang didapati masih mengikuti perhimpunan berkenaan, kita akan kompaun mereka kerana melanggar SOP berhimpun.
"Namun jika ada kesalahan jenayah pula, mereka akan ditahan dan dituduh mengikut kesalahan jenayah," katanya.
Semalam, polis dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan susulan tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun menerusi 'operasi' Black Democracy pada jam 12 tengah hari di beberapa lokasi seluruh negara esok.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.