Sabtu, 26 Jun 2021

Gajah kempunan mengawan bunuh 16 penduduk kampung

 Oleh KOSMO!

Gambar hiasan

NEW DELHI – Seekor gajah jantan menyerang dan membunuh 16 penduduk kampung sejak dua bulan lalu selepas haiwan itu disingkirkan kawanannya dipercayai kerana ‘kelakuan buruk dan persaingan dengan gajah jantan lain’, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Gajah dipercayai berusia antara 15 hingga 16 tahun itu naik minyak di daerah Santhal Pargana, negeri Jharkhand selepas terpisah daripada 22 ekor gajah lain.

“Ia dipercayai  mahu mengawan dan disingkirkan akibat kelakuan buruk dan persaingan seksual dengan gajah jantan lain.

“Kami sedang mengkaji kelakuannya. Sebuah pasukan terdiri daripada 20 anggota sedang cuba mengesan gajah itu kerana keutamaan kami ketika ini adalah untuk melindunginya,” kata pegawai perhutanan,  Satish Chandra Rai kepada AFP.

Haiwan itu yang dipercayai sedang dalam perjalanan untuk kembali kepada kawanannya.

Selasa lalu, ia telah mengangkat tubuh sepasang warga emas dengan menggunakan belalainya dan menghempas mereka sehingga mati pada waktu subuh.

Satish berkata, haiwan itu hanya membunuh manusia yang menghalang, berada terlalu dekat dengannya atau cuba memprovokasinya dengan merakam  gambar.

“Ia tidak memecah masuk rumah penduduk kampung atau menyerang orang awam. Kami mahu melihat jika ia diterima semula oleh kawanannya.

“Jika tidak, maksudnya ia telah membuktikan bahawa ia merupakan ‘gajah nakal’,” katanya.

India mempunyai populasi gajah liar Asia sebanyak 30,000 ekor dan sejak kebelakangan ini,  terdapat banyak kes pembunuhan gajah oleh penduduk kampung. -Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.