Sabtu, 26 Jun 2021

Dari penjaja ke restoran, bantuan k'jaan sukar diperoleh

Malaysiakini

Di bawah perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19, sektor makanan seperti restoran dan kedai makan tidak pernah diarahkan tutup dan dibenarkan beroperasi dengan kaedah bawa pulang (take away).

Pada April tahun lalu, pakej rangsangan Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengambil kira penderitaan dihadapi pengusaha makanan dengan menampilkan kisah "Haji Salleh pengusaha mi kolok" bagi menunjukkan pelbagai faedah yang disediakan kerajaan.

Pakej Prihatin membolehkan pengusaha kedai makan seperti Haji Salleh memperoleh skim subsidi gaji dan pinjaman mikro kredit sebanyak RM50,000 dari Bank Simpanan Nasional.

Realitinya, beberapa pengusaha restoran kecil memberitahu Malaysiakini bahawa ia tidak semudah itu kerana kebanyakan peniaga kecil tidak mempunyai buku kira-kira atau dokumen yang memenuhi syarat untuk mendapatkan bantuan.

Ayob Abd Majid, 60, kini mengusahakan sebuah gerai makanan Thai di rumahnya di Ampang, Selangor.

Dia pernah mengendalikan sebuah restoran Thailand di Kampung Baru, Kuala Lumpur hingga Mei tahun lalu sebelum ditutup kerana tidak dapat menampung sewa sebanyak RM8,000 sebulan.

Sepanjang tempoh “total lockdown”, dia memperoleh sekitar RM100 sehari sekiranya bernasib baik. Dia hanya menerima insentif kerajaan melalui pinjaman RM15,000 ketika wabak Covid-19 bermula. Sekarang, dia menghadapi masalah membayar balik pinjaman sebanyak RM300 sebulan.

“Bagi penjaja seperti kami, mendapatkan pinjaman dari bank tidak semudah itu. Perlu beri pelbagai jenis dokumen. Perlu ada simpanan. Perlu buktikan ada mempunyai aset.

"Masalah bear yang berlaku adalah  rekod kredit yang digunakan oleh syarikat pelapor seperti CTOS.

"Sebilangan daripada kami tidak memperoleh pinjaman kerana mereka mempunyai rekod kad kredit yang buruk ketika masih muda, yang memberi kesan kepada mereka sehingga sekarang.

"Yang lain-lain mempunyai hutang kad kredit yang belum dibayar kerana wabak ini mennggaggu aliran tunai perniagaan mereka," jelasnya.

Ayob berkata, beban hutang di kalangan peniaga kecil sukar diselesaikan dan meminta ia menjadi keutamaan bagi kerajaan. Jika tidak, katanya, ramai peniaga akan gulung tikar apabila sektor ekonomi dibuka semula.

Bantuan kewangan masih diperlukan

Di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur, terdapat lebih kurang 3,000 penjaja makanan yang kebiasaannya akan melayani permintaan orang ramai.

Bagaimanapun, ketua Persatuan Penjaja dan Penjual Bumiputera Wilayah Persekutuan (Jalan Raja Bot) Shahrin Darus berkata pelanggan semakin kurang berkunjung ke kawasan itu berikutan kawalan ketat yang dikuatkuasakan sekarang.

Shahrin mencadangkan kerajaan memberikan wang tunai sekali beri (one-off) sebanyak RM3,000 kepada penjaja di kawasan sekitar. Jika tidak, katanya banyak perniagaan tidak akan dapat diselamatkan akibat PKP.

Mohd Muizzuddin, 28 yang mengusahakan sebuah gerai makan di pasar Jalan Bot berkata "total lockdown" menjadi beban berkali ganda kepada mereka. 

Bukan hanya pendapatannya terjejas, permohonannya untuk mendapat Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) juga ditolak.

“Tahun lalu, saya memohon dan peroleh wang tunai RM1,600. Kali ini, saya tak dapat kerana saya tak ada anak.

“Saya menolong ibu bapa saya uruskan gerai. Kadang-kala saya tak dapat gaji sendiri kerana apa yang diperoleh tidak cukup untuk menampung kos," katanya.

Seorang pengusaha kedai kopi, yang hanya ingin dikenali sebagai Lim, memberitahu Malaysiakini bahawa bantuan kerajaan yang diperolehnya sengat sedikit memandangkan perniagaannya tidak didaftarkan di Suruhanjaya Pendaftaran Syarikat.

"Bagaimanapun, ahli keluarga saya yang mendaftar, layak menerima bantuan tunai.

"Yang saya dapat tahun ini adalah RM500 di bawah skim BPN."

Lim berkata disebabkan dia tidak mempunyai rekod kredit yang baik, dia telah ditawarkan pinjaman melalui panggilan oleh pihak bank.

“Penjaja makanan yang beroperasi berhampiran pusat bandar komersial dan kawasan perindustrian terjejas teruk. Tetapi bagi kami, kami beroperasi berhampiran kawasan perumahan, jadi perniagaan kami masih bertahan," katanya.

Gulung tikar berlaku setiap hari

Selain peniaga kecil, pengusaha yang lebih besar juga menghadapi masalah, terutama di kawasan komersial.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan berkata, pendapatan berkurang kerana restoran secara umumnya melayani pelanggan secara 'dine-in'.

"Kira-kira 500 daripada 12,500 anggota kami telah menutup perniagaan sejak pandemik bermula. Seperti menutup satu kedai setiap hari. Ia ditutup kerana mereka tidak dapat menguruskan bayaran sewa dan gagal mendapatkan pinjaman, ”katanya.

Jawahar menjangkakan lebih ramai anggotanya akan gulung tikar pada akhir tahun ini, terutama restoran di kawasan utama di mana sewa menjadi satu masalah buat mereka.

Jawahar berkata, orang ramai kini mempunyai pendapatan boleh belanja yang jauh lebih rendah untuk membuat pesanan 'take away', tidak seperti ketika perintah kawalan pergerakan pertama (PKP 1.0). 

Ini katanya, kerana kerajaan kini tidak melaksanakan moratorium pinjaman bank.

"Orang ramai berbelanja sedikit dan membuat pesanan di bawah RM10," katanya.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Wong Teu Hoon berkata kedai kopi di Malaysia juga menghadapi masalah di kawasan utama kerana model perniagaan mereka bergantung kepada kutipan sewa dari kedai.

Oleh kerana pengusaha gerai menghadapi masalah di kawasan utama yang jauh dengan kawasan perumahan, mereka tidak dapat membayar sewa dan sekali gus memberi kesan kepada pengusaha kedai kopi untuk membayar sewa.

"Pada masa ini,  awak lihat orang beli secara bungkus. Tapi, berapa kali awak melihat orang yang datang hanya untuk beli hanya kopi ais? " soal Wong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.