Walaupun ramai yang menganggap Covid-19 memberi impak negatif kepada kehidupan rata-rata penduduk dunia, pandemik ini juga memberikan hikmah tersendiri demi survival ramai wanita apabila golongan itu semakin kreatif meneroka bidang yang mampu menjana pendapatan seperti menceburi perniagaan dan perkhidmatan secara dalam talian.
Pada ketika ramai yang terkesan akibat kehilangan kerja, perniagaan terjejas teruk dan sebagainya, manakala sebilangan wanita pula berjinak-jinak mempelajari selok-belok bidang keusahawanan sebagai ikhtiar bagi mendepani cabaran pasca Covid-19.
Dengan didorong corak kehidupan masyarakat yang perlu mengikuti pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalani norma baharu.
Sejajar itu, peniaga juga perlu melakukan perubahan dalam corak pemasaran dan kaedah jualan untuk kekal relevan dan kompetitif.
Menurut Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Prof. Dr. Madeline Berma , wanita menghadapi banyak cabaran semasa penularan Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia (PKP) seperti akses kepada penjagaan kesihatan dan maklumat kehilangan pekerjaan, tambahan beban kerja rumah, dan risiko keganasan domestik.
“Wanita yang bekerja di lapangan kerja tidak formal berhadapan dengan risiko kehilangan kerja atau pengurangan waktu bekerja, menjadikan ramai mereka jatuh miskin atau tergolong dalam kumpulan rentan,” katanya.
Justeru, perlu ada usaha pemerkasaan wanita supaya golongan ini mempunyai akses dan mengawal pendapatan dan aset, mereka boleh mengawai dan memanfaatkan faedah kemajuan ekonomi, mempunyai kuasa membuat keputusan dan peningkatan produktiviti.
Mengulas Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus jika dibandingkan dengan negara lain seperti Australia (72.5 peratus) dan Singapura (69.1 peratus), Dr. Madeline memberitahu, walaupun keadaan ini berlaku, wanita masih mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara.
“Di Malaysia, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja masih rendah berbanding dengan lelaki. Pun begitu, mereka juga boleh menjadi pengguna yang turut memberi sumbangan kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, memahami keperluan perbelanjaan semasa pandemik dan kebanyakan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP) baru-baru ini yang mengeluarkan I-Sinar terdiri daripada pencarum wanita suri rumah, Dr. Madeline mahu wanita memikirkan caruman tersebut sebagai simpanan untuk persaraan pada masa hadapan.
“Kepada yang belum mengeluarkan, pastikan pengeluaran i-Sinar adalah langkah terakhir, jika tidak ada sumber wang lain. Bagi mereka yang sudah mengeluarkan i-Sinar, mereka diharapkan mengguna wang tersebut untuk kegunaan yang produktif yang boleh mencipta pendapatan. Apabila kembali bekerja, mereka perlu menambah caruman dan membuat simpanan lebih banyak untuk jaminan hari tua,” katanya.
Dalam pada itu, kajian oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati yang wanita mempunyai tanggungjawab yang tidak seimbang untuk kerja penjagaan tidak berbayar. Wanita memperuntukkan lebih satu hingga tiga jam sehari untuk kerja di rumah berbanding lelaki; lebih dua hingga 10 jumlah masa diperuntukkan sehari untuk penjagaan (kanak-kanak, orang tua, dan menjaga mereka yang sakit), dan kurang satu hingga empat jam sehari untuk kerja-kerja berbayar.
Situasi ini juga berlaku di Malaysia. Perbezaan ini yang berakar umbi dalam peranan gender, mengurangkan masa lapang, kebajikan dan kesejahteraan wanita. Hasil daripada perbezaan tanggungjawab domestik ini, lelaki dan wanita mempunyai corak penggunaan masa yang berbeza; jumlah masa lapang dan keaktifan beraktiviti.
Keadaan ini mempunyai kesan kepada kemampuan wanita untuk terlibat dalam peluang pendidikan, kemampuan mereka untuk meraih peluang ekonomi dan keusahawanan, dan untuk terlibat lebih mendalam dalam kehidupan semasa ekonomi, politik, awam dan sosial.
“Kesaksamaan hanya boleh dicapai, sekiranya halangan sistematik yang masih wujud dalam masyarakat, dapat dihapuskan. Seperti diskriminasi daripada segi gender dalam keluarga, tempat kerja, dasar kerajaan, media dan pendidikan,” katanya.
Sementara itu, jika dilihat pada pengalaman keadaan krisis ekonomi termasuk krisis kewangan Asia 1997, kita melihat pemberhentian pekerja wanita jauh lebih tinggi daripada lelaki kerana masyarakat masih melihat lelaki sebagai penyedia utama.
Tambah beliau, dalam keadaan krisis, lazimnya wanita, golongan tua, mereka yang kurang berpendidikan akan diberhentikan.
“Pekerja wanita diberhentikan dan pekerja lelaki dikekalkan kerana lelaki sering dianggap sebagai ketua isi rumah, penyumbang utama pendapatan, dan mempunyai banyak tanggungan. Inilah yang berlaku kepada perniagaan yang tutup akibat Covid-19, seperti sektor hospitaliti, pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan,” ujarnya.
Katanya, pandemik yang merebak ke seluruh dunia hari ini diakui memberi kesan kepada aspek kehidupan manusia, termasuk pola pergerakan wanita yang menjadi tunjang kepada keselamatan keluarga.
“Satu-satunya cara untuk kita teruskan kehidupan ini adalah menerusi penyesuaian diri dan keluarga dengan semua perubahan yang sedang serta bakal berlaku dan bukannya dengan bermimpi, mengharapkan kehidupan kita kembali seperti dulu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.