Jurucakap kedutaan China
berkata mengikut undang-undang antarabangsa, pesawat ketenteraan China
menikmati kebebasan untuk melaksanakan penerbangan di ruang udara yang
relevan.
Kerajaan China berkata penerbangan 16 pesawat ketenteraan di kawasan perairan Malaysia adalah rutin latihan pasukannya selepas negara mendakwa Beijing menceroboh kedaulatannya.
Kerajaan Malaysia mengecam pesawat tentera yang dikesan Isnin lalu di ruang udara perairan Laut China Selatan, yang merupakan wilayah yang turut dituntut Beijing.
Menteri Luar Hishammuddin Hussein mengkritik penerbangan tersebut dan menyifatkannya sebagai “pencerobohan” selain berkata kerajaan akan memanggil duta China dan menghantar notis bantahan kepada Beijing.
Bagaimanapun, jurucakap kedutaan China di Kuala Lumpur berkata “aktiviti penerbangan tersebut adalah rutin latihan pasukan tentera udaranya yang tidak menyasarkan mana-mana negara”.
“Mengikut undang-undang antarabangsa, pesawat ketenteraan China menikmati kebebasan untuk melaksanakan penerbangan di ruang udara yang relevan,” katanya.
Menurut jurucakap kedutaan China dalam sebuah kenyataan, pesawat-pesawat tersebut tidak memasuki mana-mana ruang udara wilayah Malaysia.
Pesawat itu dikesan berada dalam jarak 60 batu nautika (110km) dari Borneo Malaysia.
Ia kemudian dilaporkan berpatah balik sebelum memasuki ruang udara wilayah perairan Malaysia.
Namun Hishammuddin berkata pesawat China telah memasuki “zon maritim” negara itu dan menyifatkan kejadian itu sebagai “pencerohonan wilayah udara dan kedaulatan Malaysia”.
China menuntut hampir seluruh Laut China Selatan dan telah membangunkan beberapa pangkalan tentera di pulau-pulau kecil, satu tindakan yang mengundang kemarahan negara-negara lain yang saling bersaing dalam tuntutan kawasan perairan tersebut.
Hubungan Malaysia-China dianggap baik sebelum ini, namun kejadian pada Isnin telah menyebabkan ketegangan semakin meningkat di kawasan perairannya, yang merupakan laluan perkapalan utama selain memiliki sumber minyak dan gas asli.
Tahun lalu, sebuah kapal peninjau China turut dikesan di kawasan perairan luar Borneo.
Penuntut lain kawasan perairan Laut China Selatan termasuk Vietnam, Filipina, Brunei dan Taiwan.
Amerika Syarikat juga telah menghantar kapal tenteranya melalui perairan tersebut bagi menegaskan hak antarabangsa berhubung kebebasan pelayaran, yang kemudiannya mengundang kemarahan China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.