Rabu, 26 Mei 2021

Warga asing pakai ‘gelang pink’ berpelesiran di Ayer Keroh

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA 
 
  Tangkap layar klip video yang tular sejak semalam.

MELAKA – Pihak pengurusan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini dipanggil pihak polis selepas tular klip video memaparkan sekumpulan pekerja warga asing berpelesiran sambil memakai ‘gelang pink’, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai klip video tersebut kira-kira pukul 2.35 petang.

Katanya, susulan itu pihak polis telah memanggil pengurus sumber manusia kilang tersebut bagi membantu siasatan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Klip video berdurasi 16 saat itu memaparkan beberapa individu warga asing memakai gelang merah jambu dipercayai pesakit bawah siasatan (PUI) telah keluar membeli barangan di kedai runcit di Taman Ayer Keroh Height.

“Kita telah memanggil pengurus sumber manusia dipercayai majikan pekerja berkenaan untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk memberi keterangan dan butiran pekerja,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, video klip itu dipercayai telah tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.

“Pihak polis telahpun membuka kertas siasatan dan kita akan mengenal pasti individu-individu yang terlibat dalam klip video tersebut untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan kumpulan warga asing itu baru sahaja dipakaikan gelang berkenaan dan dalam proses untuk dihantar balik ke hostel masing-masing bagi tujuan kuarantin,” katanya.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 15 Perenggan 22 (B) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 Akta 342.

Terdahulu, sebanyak empat buah kilang termasuk sebuah kilang makanan di perindustrian Ayer Keroh diarah tutup bermula 23 Mei lalu sehingga Sabtu ini selepas berlaku peningkatan jangkitan indeks Covid-19 membabitkan pekerja tempatan dan warga asing.- K! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.