Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
PETALING JAYA: Keterujaan jutaan rakyat Malaysia mendapatkan suntikan AstraZeneca bertukar hampa apabila slot pusingan kedua tempahan vaksin itu habis dalam tempoh lebih satu jam.
Malah lebih mengecewakan apabila laman web www.vaksincovid.gov.my gagal dilayari kerana dipercayai capaian trafik yang tinggi sehingga orang ramai tidak dapat menempah slot meskipun menunggu di hadapan telefon bimbit atau komputer lebih awal sebelum waktu pendaftaran dibuka pukul 12 tengah hari.
Tidak kurang juga terdapat ramai mengeluh selepas menembusi laman web, slot vaksin sudah penuh walaupun dicanangkan sebelum ini ditawarkan kira-kira 1.26 juta dos vaksin.
Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial Facebook mendapati, netizen mengadu butang negeri tidak boleh ditekan dan menyebabkan mereka terpaksa ‘refresh’ laman web, sebaliknya slot telah penuh selepas mengakses laman web tersebut.
Seorang pengguna Facebook, Muhammad Esa Abu Yamin menyifatkan situasi itu tidak harus berlaku memandangkan pihak berkenaan harus bersedia daripada segi kesesakan trafik memandangkan laman itu dilayari jutaan rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia telah mula sedar kepentingan pengambilan vaksin, tetapi penyediaan sistem pendaftaran di web yang dikatakan begitu ‘canggih dan terpaling lancar di dunia’ ini adalah amat mengecewakan,” katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial, Azerule Nizam pula melahirkan kekecewaan kerana tidak dapat melakukan pendaftaran sedangkan menunggu di hadapan telefon sejak pukul 11.50 pagi.
“Berapa jam baru boleh nak boleh register? Katanya sistem puluh-puluh juta ringgit kononnya,” soal lelaki itu.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam ciapan Twitter memaklumkan, pendaftaran sukarela pengambilan vaksin AstraZeneca untuk rakyat Malaysia umur bawah 60 tahun kini ditutup selepas lebih sejam tempahan dibuka bermula pukul 12 tengah hari semalam.
Ia melibatkan penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuching dan Miri di Sarawak serta Johor.
“Tempahan janji temu untuk pusingan kedua Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca kini sudah ditutup. Mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat. Terima kasih bagi mereka yang mendaftar untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok,” kata ciapan itu. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.