Khamis, 27 Mei 2021

Pihak berkuasa kaji data pesawat Israel berlegar di ruang udara Malaysia

MalaysiaNow

Pesawat tersebut tersebut terbang di Lembah Klang pada altitud melebihi 15,000 kaki lebih tinggi daripadan kawalan pihak berkuasa Malaysia.

Pihak berkuasa penerbangan di Malaysia sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa laporan yang mendakwa sebuah pesawat yang dilengkapi teknologi perisikan memasuki ruang udara Malaysia sebelum dikesan mendarat di pangkalan tentera Singapura.

Siasatan tersebut dijalankan selepas MalaysiaNow memuat naik sebuah laporan yang memetik jurnal pertahanan dan laman jejak penerbangan pesawat yang menunjukkan pesawat Boeing 737-400 yang dimiliki Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta), sebuah kontraktor pertahanan Tel Aviv berlegar-legar di ruang udara Singapura selama hampir empat jam pada 24 Mei lalu sebelum mendarat di Lapangan Terbang Paya Lebar, sebuah bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat.

“CAAM kini sedang berbincang dengan kementerian pengangkutan dan sedang mengkaji kesemua data teknikal berhubung parkara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo Chee Soon kepada MalaysiaNow.

Semakan di laman sesawang Flightradar24 menunjukkan pesawat dengan nombor pendaftaran 4X-AOO itu masih di ruang udara Israel pada 18 Mei lalu.

Sehari kemudian, pesawat tersebut terbang dengan altitud ketinggian 29,000 kaki di Lembah Klang, lebih tinggi dari 15,000 kaki yang dikawal pihak berkuasa Malaysia.

Jurnal pertahanan, Defence Security Asia berspekulasi pesawat itu mungkin membawa radar sensitif dan kelengkapan pengintipan selain berkemungkinan sedang menguji “sistem baru”.

Laporan kehadiran pesawat tersebut di wilayah ini menimbulkan kebimbangan di Malaysia selepas sentimen anti-Israel semakin memuncak ketika serangan ganas negara Yahudi itu terhadap Gaza.

Malaysia merupakan negara yang kuat mendukung perjuangan Palestin, dan tidak seperti Singapura, negara ini tidak memiliki apa-apa hubungan diplomatik dengan negara Yahudi tersebut.

Awal bulan ini, Putrajaya berkata ia meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara susulan beberapa laporan ancaman dari agensi-agensi perisikan Israel.

Sementara itu sumber keselamatan ruang udara yang tidak mahu dinamakan berkata kepada MalaysiaNow bahawa sebarang isu pencerobohan ruang udara Malaysia boleh berada di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang harus merujuk perkara itu kepada Kawalan Lalu Lintas Udara (ATC).

“Ia semua bergantung sama ada pesawat itu adalah pesawat sivil atau pesawat negara, Jika ia adalah pesawat negara, ATC mesti lencongkan pesawat kepada laluan lain,” katanya.

Namun sumber berkata wujud isu bidang kuasa berhubung ruang udara di Malaysia dan Singapura sambil menambah Malaysia tidak mengawal ruang udara di atas 15,000 kaki.

“Lebih penting lagi, persoalan yang perlu ditanya adalah sama ada wujud koordinasi antara pasukan risikan dan agensi penguatkuasaan di Malaysia selain sama ada wujud pihak berkuasa yang bertindih antara agensi dan kementerian,” tambah sumber itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.