Jumaat, 28 Mei 2021

Pakai pelitup muka dua lapis bantu tapis lebih banyak zarah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pemakaian pelitup muka berganda dengan mengenakan pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan, dapat membantu menapis lebih banyak zarah berbanding menggunakan pelitup muka kain semata-mata, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berkongsi maklumat menerusi infografik dalam akaun Twitter beliau, kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) merumuskan bahawa pemakaian pelitup muka berganda (dengan pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan) dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19.

“Walaupun ia tidak diwajibkan berserta dengan pelindung muka, ia memberikan perlindungan maksimum,” kata Dr Noor Hisham.

Menurut satu lagi infografik yang dikongsikan beliau, pelitup muka perubatan tanpa mengikat gelung telinga menyekat 56.1 peratus zarah, pelitup muka kain (51.4 peratus), pelitup muka yang gelung telinganya diikat dan diselit pada telinga pemakai (77 peratus) dan pelitup muka berganda (85.4 peratus).

Sentiasa memakai pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain untuk pemakaian berganda dan elakkan menggunakan pelitup muka jenis sama sebagai pelitup muka berganda, menurut infografik itu.

Satu lagi infografik menunjukkan bahawa pelitup muka N95 sepatutnya digunakan satu sahaja dan tidak dipasangkan dengan pelitup muka lain kerana ia adalah piawaian tertinggi bagi jenis pelitup muka dan ia boleh melitup permukaan muka dan menapis 95 peratus zarah.

Semalam, jumlah kes Covid-19 harian yang direkodkan di negara ini terus melonjak dengan 7,857 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam dan 59 kematian, menjadikan jumlah kematian kepada 2,491.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.