Sabtu, 1 Mei 2021

Langgar larangan rentas negeri balik raya, haram hukumnya – Mufti WP


RASULULLAH SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit.

Malah dalam hadis itu, Rasulullah SAW meminta mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

Maka, berdasarkan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menegaskan haram hukumnya melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, seperti yang ditetapkan kerajaan.

Dr Luqman Abdullah

Beliau berkata, asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

“Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada Ulul Amri (pemerintah) maka hukumnya haram.

“Sekarang angka (jangkitan) semakin tinggi, jadi kalau dibenarkan (rentas negeri) bila rantaian jangkitan ini akan berhenti?

“Dalam media baru-baru ini ada kes tipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (kebenaran palsu) Yang Dipertuan Agong. Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran),” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian pada Seminar Cabaran COVID-19 Menurut Perspektif Islam dan Pelancaran Buku Fakulti Pengajian Islam di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom, hari ini.

Luqman berkata, perbincangan panjang mengenai hukum boleh dibuat bagaimanapun dalam menangani penularan COVID-19, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.

“Sekiranya untuk kebaikan, sebagai rakyat ia perlu diikuti. Jika tidak risiko (disebabkan jangkitan) adalah tinggi,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Sidang Khas MKN Isnin ini muktamadkan SOP raya, rentas daerah

Luqman berkata, beliau sendiri sepatutnya ke Kelantan untuk menghadiri mesyuarat baru-baru ini tetapi membatalkannya bagi mengelak sebarang risiko jangkitan.

“Saya sudah mendapat surat (kebenaran rentas negeri) polis tetapi apabila seluruh daerah di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terpaksa berfikir semula.

“Jika balik, mungkin saya (dijangkiti) atau menjangkiti mereka di sana jadi saya tidak ke Kelantan dan hanya menjalani mesyuarat secara dalam talian.

“Jika ada keperluan, bolehlah merentas negeri dan kerajaan juga membenarkannya jika ada keperluan tetapi jika hanya untuk tujuan sosial, ia akan hanya membawa risiko yang tinggi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.