Jumaat, 28 Mei 2021

Kit ujian nafas kesan Covid-19 masih diteliti

Oleh AMREE AHMAD

ADHAM BABA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan masih meneliti tahap keberkesanan kit ujian awal pernafasan dihasilkan oleh Singapura bagi mengesan individu yang ada dijangkiti Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kit yang tular diperkatakan dalam kalangan pengguna media sosial itu turut perlu dikaji lebih mendalam sebelum digunakan orang awam.

“Kementerian Kesihatan ada dimaklumkan mengenai kit Breathonix itu yang seumpama peranti untuk menguji paras kandungan alkohol ke atas pemandu mabuk di jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di pejabatnya, di sini hari ini.

Media antarabangsa pada Isnin lalu melaporkan kit itu yang dibangunkan Universiti Nasional Singapura akan digunakan oleh pihak imigresen republik berkenaan tidak lama lagi.

Ia bakal dilaksana secara percubaan bagi menyaring pelawat warga asing dari Malaysia di pintu masuk di Linkedua di Tuas sekali gus membuka pintu sempadan antarabangsa negara itu.

Setakat ini, peranti itu sudah menjalani tiga kali ujian klinikal termasuk satu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dengan kadar ketepatan yang mencecah 95 peratus melibatkan ratusan pesakit.

Mengulas lanjut, Adham berkata, kit tersebut perlu mendapat kelulusan Persatuan Peranti Perubatan Malaysia (MMDA) sebelum boleh dikomersialkan secara luas di pasaran negara ini.

“Jika sesuai, kita berharap kit ujian ini mudah dibeli di farmasi untuk masyarakat dapat buat ujian kendiri bagi mengenal pasti mereka yang disyaki mungkin ada Covid-19,” tegas beliau.

Malah kit itu ujarnya, boleh digunakan di kawasan awam, premis komersial, tempat kerja atau rumah ibadat untuk saring individu kerana ia memberi keputusan hanya dalam masa seminit.

Menyentuh perkembangan kit ujian air liur, beliau memaklumkan ia dalam proses kelulusan dan menjangka orang awam juga boleh melakukan proses saringan secara kendiri di rumah.

Kit berkenaan, katanya, akan dijual dengan harga berpatutan di farmasi seluruh negara dan peranti itu amat mudah dibawa ke mana-mana serta ujian pengesanan senang dikendalikan.

“Kementerian akan umum dalam masa terdekat kerana kita sedar ramai tidak dapat hadir ke pusat saringan disebabkan masalah jarak, tiada masa dan pelbagai halangan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.