Pinjaman kerajaan setakat Mei adalah sekitar RM99.3 bilion, bukan RM115.53 bilion
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menggunakan Ordinan Darurat untuk meningkatkan atau menambah perbelanjaan melebihi had siling yang telah diluluskan Parlimen pada Ogos 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata pinjaman kerajaan sehingga April 2021 berjumlah RM81.8 bilion, manakala setakat Mei adalah sekitar RM99.3 bilion, bukan RM115.53 bilion seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Kesemua pinjaman kerajaan adalah berdasarkan perbelanjaan yang diluluskan di Parlimen sewaktu pembentangan Belanjawan 2021,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya hari ini.
Menerusi video itu, Tengku Zafrul menjawab pelbagai dakwaan tidak berasas bahawa negara telah meminjam RM115.53 bilion sehingga Mei 2021 untuk berbelanja tanpa kawalan selain operasi pinjaman dan perbelanjaan kerajaan yang didakwa tidak telus hanya kerana tempoh darurat.
Menyentuh pinjaman yang dibuat oleh Petronas dan Khazanah Nasional Bhd, Tengku Zafrul berkata ia merupakan keperluan modal dan aliran tunai syarikat terbabit.
“Itu hutang mereka, bukan hutang kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan yang ada pada masa ini tidak membuat pinjaman di luar belanjawan tahunan atau ‘off-balance sheet’, tidak seperti kerajaan terdahulu, apabila hutang kerajaan Persekutuan meningkat lebih 120 peratus manakala jumlah jaminan kerajaan meningkat lebih 240 peratus bagi tempoh 2008 hingga 2017.
Berkenaan hutang legasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn Bhd (SRC) dan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) berjumlah lebih RM40 bilion, Tengku Zafrul berkata RM15.5 bilion hutang 1MDB dan SRC sudah dibayar oleh kerajaan setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, masih ada baki hutang merangkumi prinsipal dan faedah berjumlah lebih RM42.3 bilion.
“Bayangkan, jika jumlah hampir RM58 bilion ini dapat digunakan, berapa ramai rakyat kita dapat dibantu semasa pandemik ini?
“Bukan hendak mengungkit, tetapi isu ini
amat relevan dengan isu hutang negara dan kemampuan fiskal kerajaan
untuk membantu rakyat,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.