Rabu, 26 Mei 2021

Jet pengintip Israel mendarat di Singapura

Oleh KOSMO!
PESAWAT pengintip tersebut dikesan berlegar di ruang udara Singapura dan mendarat di Lapangan Terbang Paya Lebar. – Flightradar24

SINGAPURA – Sebuah pesawat perisik milik Israel dikesan berlegar-legar di udara sekitar empat jam sebelum mendarat di sebuah pangkalan tentera udara di Singapura.

Menurut laporan jurnal Defense Security Asia, pesawat jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 itu adalah milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv.

Firma tersebut itu dikatakan memiliki kepakaran dalam risikan selain sistem elektronik.

Menurut Defense Security Asia, pesawat itu mungkin membawa radar sensitif dan peralatan pengintipan.

“Kapal terbang itu mungkin sedang menguji sistem baharu. Ia turut dikenali sebagai pesawat uji kaji atau test-bed, “ demikian laporan jurnal tersebut.

Pesawat itu turut digunakan bagi risikan pemantauan maritim dan gambaran risikan.

Pemeriksaan laluan pesawat menerusi laman Flightradar24 mengesahkan kehadiran pesawat itu di Lapangan Terbang Paya Lebar di Singapura

Kehadirannya menarik perhatian ramai dan ia berlaku seminggu selepas Putrajaya memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius sebarang ancaman terhadap warga Palestin yang menetap di Malaysia.

“Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara,” kata Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.