SHAH ALAM – Tiga individu bergelar profesor akademik di Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing dikenakan denda RM2,000 atas kesalahan mengingkar prosedur operasi standard (SOP) mengadakan jamuan raya di asrama pelajar di kampus itu baru-baru ini.
Dua orang daripadanya adalah profesor berjawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan TNC Akademik dan Pengantarabangsaan yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor universiti tersebut, kata Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed hari ini.
“Kita sudah selesaikan siasatan dan telah mengemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan telah menerima keputusan kompaun RM2,000 dikeluarkan ke atas mereka.
“Manakala penganjur program itu pula turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kes berkenaan dalam sidang media maya tengahari tadi.
Artikel berkaitan: Ketua Pengarah KPT hadir majlis jamuan raya UPM disiasat
Dalam satu kenyataan media 16 Mei lalu, Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, polis telah membuka kertas dan sedang menyiasat mengenai isu tular mengenai dakwaan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan mengadakan majlis hari raya.
Program tersebut telah diadakan di Kolej Kediaman ke 13 UPM pada 13 Mei lalu (Hari Raya Aidilfitri pertama) yang melibatkan kehadiran mahasiswa dan pihak pengurusan UPM.
Tambah Mohd Rosdi, program tersebut dianjurkan sempena penyampaian sumbangan agihan juada hari raya kepada mahasiswa yang memilih tinggal di kampus dan juga jamuan hari raya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.