KUALA LUMPUR: Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota polis menjadi perkara utama dalam hala tuju kepemimpinannya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu.
Beliau yang akan memulakan tugas sebagai KPN ke-13 berkuat kuasa esok bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak perkhidmatannya hari ini, berkata isu berkenaan akan dibentangkan dengan lebih menyeluruh selepas ini.
"Saya akan bentangkan isu ini dengan lebih menyeluruh dalam satu sesi khas. Kita akan fokuskan beberapa isu mengikut turutan kepentingannya," katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.
Sementara itu, beliau mengakui tugas mengepalai PDRM adalah satu bebanan yang berat jika terpaksa ditanggung sendiri.
Justeru, Acryl Sani mengharapkan setiap pegawai dan anggota polis sentiasa bersama-sama dengannya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dilindungi sepenuhnya.
"Jika ditanya perasaan saya (pelantikan sebagai KPN), ikhlas saya katakan ia seolah-olah satu bebanan yang berat diletakkan di kedua-dua bahu saya. Saya percaya jika bersendirian, saya tidak mampu menggalas tanggungjawab ini kerana setiap keputusan yang dilakukan, pasti ada perasaan mampu atau tidak, akan berlegar di fikiran kita.
"Saya yakin dengan barisan pengarah, ketua-ketua polis negeri dan ketua polis daerah yang akan membantu, berganding bahu dalam setiap tugasan yang belum selesai ini demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat," katanya.
Terdahulu, disempurnakan majlis serah terima tugas di antara Abdul Hamid kepada Acryl Sani sambil disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mewakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
KPN ke-13 dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian).
Beliau menyertai PDRM pada 2 Februari 1986 sebagai Asisten Superintendan (ASP) Kadet dan menjadi pengarah beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Antara jabatan diterajuinya adalah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN pada 14 Ogos 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.