Ir Ts Lukman Al Hakim
Akhlak, adab sopan dan budaya murni berteraskan agama semakin luntur ditelan zaman teknologi digital
BUKAN pemansuhan peperiksaan utama seperti UPSR, PMR bahkan SPM yang merisaukan saya berkenaan sistem pendidikan negara, tapi akhlak, adab sopan dan budaya murni berteraskan agama yang semakin luntur ditelan zaman teknologi digital.
2. Apabila adik Ain Husniza menjadi viral kerana melaporkan bahawa cikgunya membuat lawak lucah yang keterlaluan dalam kelas, ia hanyalah ‘the tips of the iceberg’ (puncak isu yang tidak menggambarkan keseluruhan masalah sebenar).
3. Kemudian, ugutan rakan lelaki sekelasnya dan juga reaksi warganet yang mensensasikan susuk tubuh adik Ain secara terbuka juga hanya merupakan simptom, bukan punca masalah.
4. Sungguh, masyarakat kita sudah terlalu tenat. Pemikiran mereka kotor, kata-kata mereka berbaur lucah dan tindakan mereka memualkan. Apa yang ada dalam hati-hati mereka hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
5. Tidak perlu lagi saya paparkan semula statistik penonton pornografi dalam talian, kes sumbang mahram, pelbagai jenayah seksual, pembuangan bayi dan pendaftaran anak tidak sah taraf di negara kita (rujuk tulisan-tulisan saya sebelum ini). Jika semua nombor ini tidak merisaukan kita, saya tidak tahu apa lagi yang mampu menyentuh hati kita untuk bertindak melakukan perubahan.
6. Jika kita kaji dan telusuri ini semua berkait rapat dengan sistem pendidikan holistik (bukan sahaja di sekolah) yang telah diterima generasi demi generasi di Malaysia. Ingat, selain sekolah, ibu bapa, media massa, bahan bacaan serta tokoh atau selebriti juga turut mendidik anak bangsa secara tidak langsung.
7. Kesilapan utama kita ialah menjadikan Islam sekadar satu matapelajaran, bukan teras sistem pendidikan. Teras sistem pendidikan kita yang liberal masih berkiblatkan negara penjajah. Sudahkan Pendidikan Islam dikecilkan menjadi matapelajaran yang hanya diajar beberapa jam seminggu, itupun boleh dipersoal kualiti dan keberkesanannya.
8. Ibu bapa pula lepas tangan kepada pihak sekolah kerana bagi mereka hanya sekolah yang berperanan mendidik, padahal ketika menghantar anak memasuki darjah 1, tanpa sedar didikan ibu bapa di rumah (or the absence of it) telah membentuk jati diri dan akhlak anak-anak mereka selama 6 tahun.
9. Kita terus ditimpa masalah apabila media massa terutamanya media sosial yang ditonton anak-anak kita penuh dengan perkara sampah yang merosakkan. Rancangan di televisyen yang dikawal kerajaan pun penuh dengan lawak lucah yang tidak kelakar, artis-artis wanita yang mendedahkan aurat secara keterlaluan, adegan panas yang tidak disunting serta pelbagai normalisasi seks songsang.
10. Apatah lagi isi kandungan majalah hiburan, video, filem dan hantaran media sosial yang lebih sukar dikawal oleh kerajaan. Semua ini menyumbang kepada kerosakan minda pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.
11. Sebagaimana di sekolah, Islam hanya jadi ritual dalam masyarakat. Imam dan mufti dijemput baca doa dalam majlis tari menari dan pesta penuh maksiat. Pusat judi, arak dan pelacuran tumbuh bagai cendawan selepas hujan tanpa penguatkuasaan sewajarnya.
12. Kita ada Pusat Islam, Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Kementerian Hal Ehwal Islam, Universiti Islam, Bank Islam, saluran radio dan TV Islam, tapi kenapa masyarakat kita masih jauh dari Islam?
13. Akhirnya kita jadi keliru, letih dan putus asa. Kita desak pendidikan seks di sekolah. Tapi kita lupa al-Quran amat sarat dengan kesedaran berkaitan fitrah dan fungsi manusia berlainan jantina, cara interaksi, kawalan serta undang-undang kekeluargaan serta hidup bermasyarakat yang amat terperinci.
14. Kita desak hak sama rata wanita dan maruah wanita diangkat seolah-olah selama ini wanita jadi hamba di Malaysia. Tapi kita lupa al-Quran telah lama memuliakan wanita dengan sistem hidup khusus, tatacara pemakaian, fungsi dan peranan utama dalam keluarga dan pembangunan bangsa serta pelbagai tokoh wanita solehah lampau yang diabadikan dalam surah-surah utama Al-Quran
15. Jadikan bulan Ramadan kali ini titik tolak pertama untuk kita memahami dan mengamalkan isi kandungan kitab suci ini pada kapasiti individu. Seterusnya bina kekuatan dan kemahiran untuk mengajarkannya dan mendidik ahli keluarga dan seluruh masyarakat
16. Biar lambat, asalkan kita bermula.
Bukan salah sekolah, guru atau murid juga. Bukan salah Ain Husniza yang
menjadi mangsa. Tapi yang salah ialah setiap orang dari kita yang tidak
berbuat apa-apa!- ISMA WEB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.