KUALA LUMPUR – Seorang graduan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa ijazah doktor falsafah (PhD) yang diterima dari universiti awam itu tidak diiktiraf di luar negara.
Saed Jnaidi dari Palestin berkata, dia memperoleh Phd program Komunikasi Mass itu selepas menamatkan pengajian di UPM pada tahun 2019.
Namun semua terbongkar apabila Phd tersebut belum diakreditasi oleh Kerajaan Malaysia ketika dia memohon visa untuk membolehkannya mendapat tahap orientasi satu tahun di Belanda.
Jelasnya, sebagai pemegang permit kediaman, dia dibenarkan bekerja dan tinggal di Belanda tanpa sekatan.
Bagaimanapun, dia kecewa kerana telah terlepas peluang itu hanya kerana kegagalan pentauliahan di pihak UPM.
“Untuk mendapatkan visa, pemohon mesti menghabiskan sekurang-kurangnya program sarjana atau pasca doktoral atau telah memperoleh ijazah PhD dari institusi pendidikan antarabangsa yang diiktiraf di luar negara yang berada dalam kedudukan 200 teratas dalam senarai.
“Oleh itu, saya memohon visa yang disertakan bersama sijil akreditasi PhD UPM pada bulan Januari lalu. Malangnya, PhD Komunikasi Massa yang diterima saya tidak mendapat pengiktirafan.
“Ini dimaklumkan kepada saya melalui surat yang diterima dari badan pentauliahan di Belanda iaitu Nuffic yang memaklum PhD itu tidak diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini.
Saed memberitahu, selepas berkomunikasi dengan Nuffic, mereka memintanya untuk bertanyakan perkara itu kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu sebuah agensi kerajaan yang mengendalikan pentauliahan program di institusi pengajian tinggi di negara ini.
Jelas pemegang Sarjana Muda dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, dia telah dimaklumkan oleh MQA bahawa program PhD yang telah mengambil masa pengajian selama lima tahun itu belum didaftarkan secara rasmi di agensi berkenaaan sekali gus mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nuffic.
Menurutnya, perkara itu amat mengecewakannya memandangkan dia telah pun lulus program itu dari UPM sejak dua tahun.
Tambah Saed, masalah yang sama turut menimpa seorang lagi graduan UPM dari Palestin, Alaa Husain yang lulus program sama pada tahun 2018.
“Berdasarkan maklumat yang telah diberikan oleh MQA, saya telah pergi ke Pusat Jaminan Qualiti (CQA) UPM untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut dengan mereka.
“CQA telah mengakui bahawa mereka belum menyerahkan senarai senarai program ke MQA untuk pendaftaran. Mereka hanya menghantar program umum untuk setiap fakulti yang tidak berkenaan dengan program kami di MQA.
“Mereka mengambil tindakan untuk menguruskan masalah ini dengan menghantarkan senarai program ke MQA tanpa menyertakan semua maklumat yang diperlukan oleh MQA.
“Malangnya MQA masih memerlukan lebih banyak kriteria yang perlu dipatuhi CQA yang masih belum telah dikeluarkan oleh UPM kepada MQA sehingga kini,” katanya.
Saed yang kesal mengakui isu yang berlaku itu telah mempengaruhi peluang yang hadir dalam hidupnya disebabkan oleh ketidakcekapan pihak UPM.
Jelasnya, dia kini tidak dapat memohon visa atau pekerjaan kerana Ph.D yang dimiliki tidak bernilai.
“Saya selalu berasa bangga kerana berjaya menamatkan pengajian di sebuah universiti tertinggi di Malaysia dan sekarang saya berasa sangat ‘gembira’ ditipu kerana pernah belajar dalam program yang belum didaftarkan secara rasmi.
“UPM juga membayangkan untuk menjadi salah satu universiti dengan reputasi antarabangsa tetapi gagal memenuhi syarat asas untuk memastikan ijazahnya diiktiraf oleh badan pentauliahan tempatan dan antarabangsa.
“Malah kami dimaklumkan MQA bahawa bukan sahaja program saya sahaja tidak menerima pentauliahan namun banyak program sarjana dan PhD lain yang ditawarkan di UPM belum mendapat akreditasi program dari kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.