KUALA LUMPUR – Peningkatan kes-kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) meletakkan para doktor dalam keadaan sukar apabla terpaksa membuat pilihan untuk mengutamakan katil bagi pesakit berpotensi sembuh yang tinggi berbanding potensi sembuhnya adalah lebih rendah (poor prognosis).
“Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan, namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksimum,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut beliau, dalam mengimbangi nyawa dan kehidupan (life and livelihood), adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa.
Setiap pihak yang berkepentingan, pastinya mempunyai keutamaan masing-masing.
“Namun bagi KKM dan petugas kesihatan di seluruh negara, keutamaan kami adalah kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau berkata, apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan dan kapasiti para doktor untuk merawat, maka mereka akan terpaksa membuat pilihan yang sukar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.