KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan tiga ibu tunggal beragama Islam yang terpaksa memohon bantuan kewangan daripada pihak gereja susulan permohonan mereka ditolak oleh pusat zakat atau agensi berkaitan.
Zulkfili berkata beliau akan membantu individu berkenaan sekiranya mengetahui mengenai perkara itu.
“Kalau saya tahu, saya akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Semarak Lailatul Qadar dan Ramah Mesra Bersama Pengetua Tahfiz & Pondok Wilayah Persekutuan di Maahad Tahfiz Al Faridiyah di Taman Sri Rampai di sini hari ini.
Mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan ibadah haji dan umrah beliau berkata SOP itu telah dilengkapkan bagaimanapun Arab Saudi masih belum membuat keputusan sama ada ibadah haji dan umrah dibenarkan pada musim ini.
“Kita doalah banyak-banyak kepada Allah agar wabak ini (COVID-19) pergi,” katanya.
Pada majlis berkenaan 41 maahad tahfiz dan pondok berdaftar dengan JAWI menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas makanan seperti beras, tepung, gula dan minyak masak di majlis itu.
Pogram Semarak Lailatul Qadar Wilayah Persekutuan yang julung kali diadakan pada tahun ini bertujuan merancakkan lagi amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan dengan aktiviti dan pengisian kerohanian melibatkan 89 buah masjid di Wilayah Persekutuan.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.