Dua pegawai terbukti langgar SOP PKP telah dikenakan tindakan
SHAH ALAM – Anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikenakan tindakan tatatertib sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sehingga kini, dua pegawai termasuk seorang pegawai kanan yang terbukti melanggar SOP perintah kawalan telah dikenakan tindakan tatatertib.
Beliau berkata, salah seorang daripada mereka ditahan di sekatan jalan raya kerana tidak mempunyai dokumen yang sah di Semenanjung manakala seorang lagi ketika menguruskan perniagaan keluarga lebih masa di Sabah.
“Anggota bomba juga seperti orang biasa yang perlu mengisi borang dengan lengkap disertakan dokumen. Mereka tidak akan dibenarkan rentas negeri kecuali tugas rasmi, kecemasan, kematian dan kecederaan.
“Sekiranya berlaku (pelanggaran SOP) kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai berkenaan memandangkan keadaan begini (perintah kawalan) sudah begitu lama dan mustahil pada saya pegawai itu tidak memahami serta mengetahui arahan yang telah ditetapkan,” katanya pada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Selangor 2020 di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata seramai 8,296 anggota dan pegawainya telah selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negara sehingga hari ini.
“Sehingga kini tiada anggota yang menunjukkan kesan yang kritikal daripada suntikan tersebut,” katanya.
Terdahulu, seramai 131 anggota dan
pegawai JPBM Selangor serta sembilan anggota bomba bantuan diraikan
dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah JBPM Selangor
Norazam Khamis. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.