KUALA BERANG: Sebanyak 27 kes penipuan timbang buah kelapa sawit dikesan di beberapa negeri membabitkan nilai rampasan berjumlah RM147,500 sejak 16 Mac lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata sebanyak 49 premis timbangan buah sawit diperiksa terutama di Perak, Selangor, Johor dan Pahang.
Katanya, sebanyak 12 kesalahan direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), manakala 15 kes lagi dikesan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
"Antara kesalahan dikesan dilakukan premis timbangan buah sawit adalah alat timbang tidak ditentusahkan sehingga menyebabkan bacaan timbangan tidak tepat, alat timbangan diganggu dengan wayar, tali atau apa-apa objek pada alat timbang menyebabkan timbangan tidak tepat.
"Pemilik premis timbangan buah sawit juga gagal mengemukakan borang E kepada inspektor atau syarikat yang dilantik untuk melaksanakan khidmat penentusahan," katanya kepada media pada majlis Iftar Ramadan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dan majlis penyerahan dua van jenazah sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di kediamannya semalam.
Van jenazah bernilai RM140,000 itu disumbangkan SSM kepada Masjid Kampung Bukit Diman dan Kampung Gaung. Yang turut hadir adalah Pengarah SSM negeri, Ab Razak Isa.
Mengulas lanjut, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata tumpuan utama ops manipulasi timbang sawit adalah untuk memastikan alatan timbangan digunakan tepat dengan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap perkakasan, perisian atau mana-mana komponen sistem yang digunakan peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit supaya berada dalam keadaan baik.
Katanya, pemeriksaan juga untuk memastikan alat timbang tersebut telah diuji dan ditentusahkan.
"Pemilik premis dan peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit yang didapati bersalah melakukan manipulasi timbang sukat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM40,000," katanya.
Rosol menegaskan, ops timbang sukat diadakan bagi membanteras elemen penipuan terhadap pekebun kecil yang menjual hasil kebun masing-masing daripada menjadi mangsa manipulasi alatan berkenaan.
Mengulas tindakan menarik lesen peniaga belian sawit yang dikesan melakukan penipuan timbangan itu, Rosol berkata, langkah itu terletak di bawah bidang kuasa MPOB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.