DUNGUN: Seorang warga emas maut dipercayai disambar petir di kebun durian miliknya di Kampung Sungai di Kuala Jengai di sini hari ini.
Mangsa, Abd. Wahab Talib, 64, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah sekeping atap zink kira-kira pukul 5 petang oleh ahli keluarganya.
Menantunya, Mazni Harun, 47, berkata, bapa mertuanya keluar ke kebun kira-kira pukul 1.50 petang sebelum hujan lebat dan ribut petir.
“Bimbang melihat ayah tidak balik lagi walaupun sudah hampir pukul 5 petang, adik ipar kemudian pergi ke kebun untuk mencarinya.
“Semasa di kebun, adik ipar terkejut tengok ayah terlentang tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun.
Mazni berkata, berdasarkan kesan terbakar pada rambut bapa mertuanya, dia percaya mangsa disambar petir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.