KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan pangkat Datuk Seri yang dikurniakan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee ditarik balik dan dibatalkan.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, berkata turut ditarik balik dan dibatalkan kurniaan Datuk kepada adik Nicky Liow, Liow Wei Loon.
Penarikan darjah kebesaran Darjah Sri Sutan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk itu berkuat kuasa pada 21 April lalu.
"Penarikan darjah kebesaran itu sebagai menjunjung titah perintah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Dengan ini dimaklumkan Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada penama ditarik balik dan dibatalkan serta merta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini.
"Darjah itu perlu dikembalikan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.