Selasa, 27 April 2021

Kedai emas Hajjah Halijah edar bubur lambuk percuma

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KAKITANGAN kedai emas Hajjah Halijah, Syakila Hussein (kiri) dan Myrah Mustaffa (kanan) mengedarkan bubur lambuk percuma kepada orang ramai di hadapan kedai emas tersebut di Kangar, Perlis. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KANGAR: Sejak 10 tahun lalu, kedai emas Hajjah Halijah di sini tidak pernah lupa berkongsi rezeki bersama masyarakat khususnya sepanjang Ramadan dengan mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai di hadapan premisnya.

Setiap hari, sepanjang tempoh sebulan umat Islam berpuasa, sebanyak 500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai yang melalui kawasan kedai emas tersebut.

Keistimewaan serta kelazatan bubur lambuk itu menyaksikan setiap kali proses edaran hanya memakan masa sekitar 45 minit.

Pengurus kedai emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri memberitahu, bubur lambuk tersebut cukup istimewa dan merupakan resipi daripada ibunya, Halijah Saad, 68.

Katanya, dia mengikut tradisi keluarganya yang tidak pernah ketinggalan mengedarkan bubur lambuk secara percuma di sekitar surau berhampiran rumah sejak 1980-an lagi.

“Sejak dahulu lagi ibu memasak sendiri dan mengedarkan bubuk lambuk ini dan kami meneruskan tradisi tersebut.

“Kami juga ingin berkongsi rezeki dengan orang ramai dengan salah satunya adalah dengan mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai pada setiap hari sepanjang bulan puasa ini. Malah rutin tersebut dilakukan sejak 10 tahun lalu.

“Selain pelanggan, orang ramai juga tidak melepaskan peluang menikmati bubur lambuk ini. Selalunya sekitar 45 minit bubur lambuk sudah habis diedar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, bubur lambuk tersebut diagihkan bermula pukul 5 petang oleh kakitangan di kedai emas berkenaan.

“Selain Kangar, bubur lambuk itu juga diagihkan kepada orang ramai di Alor Setar dan Sungai Petani. Agihan bubur lambuk itu sememangnya menjadi aktiviti setiap tahun sempena bulan Ramadan ini,” katanya.

Selain di Kangar, kedai emas Hajjah Halijah yang beroperasi sejak 29 tahun lalu juga mempunyai cawangan di Jitra, Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.