BALI – Kapal selam Indonesia yang hilang ditemui pecah sekurang-kurangnya tiga bahagian di dasar Laut Bali, kata para pegawai tentera dan tentera laut ketika Presiden mengucapkan takziah kepada waris keluarga 53 anak kapal.
Para penyelamat menemui objek baharu, termasuk vest keselamatan, yang dipercayai milik kru KRI Naggala-402 yang berusia 44 tahun yang hilang perhubungan pada Rabu lalu ketika ia sedang bersiap sedia untuk melakukan latihan tembakan topedo.
“Berdasarkan bukti, boleh dinyatakan KRI Nanggala telah tenggelam dan semua krunya telah meninggal dunia,” kata Ketua Tentera, Hadi Tjahjanto kepada Reuters.
“Kami berdukacita, saya mengisytiharkan kesemua 53 anggota telah meninggal dunia. Mereka merupakan tentera yang terbaik dan semoga Tuhan merahmati mereka terhadap kebaikan dan dedikasi mereka,” katanya.
Ketua Staf Tentera Laut, Yudo Margono berkata, kru tidak sepatutnya dipersalahkan dalam insiden tersebut.
“KRI Nanggala pecah kepada tiga bahagian, badan kapal, buritan dan bahagian utama semuanya terpisah dengan bahagian utama ditemui retak,” katanya seperti dipetik agensi berita.
Terdahulu, Presiden Joko Widodo mengesahkan penemuan kapal selam itu di Laut Bali dan menghantar ucapan takziah kepada waris mangsa.
“Semua warga Indonesia menyatakan kedukacitaan di atas tragedi khususnya kepada keluarga kru kapal selam,”.
Semalam pasukan pencarian berkata, mereka menemui objek termasuk cebisan tikar sembahyang dan botol yang mengandungi minyak pelincir berhampiran lokasi kapal selam yang diketahui, menyebabkan tentera laut percaya ia telah retak.
Margono berkata, imbasan sonar menemui objek seperti kapal selam pada kedalaman 850 meter, melebihi had selaman Nanggala.
Lebih sedozen helikopter dan kapal melakukan pencarian di kawasan di mana ia dilaporkan hilang, dengan Singapura, Malaysia, India, Australia dan Amerika Syarikat memberi bantuan.
Tjahjanto berkata, kapal pengukur hidrografik Indonesia, KRI Rigel melakukan ‘imbasan yang lebih tepat’ lokasi terakhir kapal selam itu dikesan dan kapal penyelamat di bawah permukaan air Singapura, MV Swift, merakamkan visual pengesahan serpihan pada kedalaman 830 meter.
Beliau menambah, lebih banyak bahagian daripada kapal selam itu ditemui hari in, termasuk sauh dan baju keselamatan yang digunakan kru.
Tentera Laut Indonesia berkata, terdapat kemungkinan bekalan elektrik terputus semasa selaman statik dilakukan yang menyebabkan kapal selam itu hilang kawalan dan tidak dapat melaksnakan prosedur kecemasan.
Indonesia mempunyai lima buah kapal selam sebelum kejadian yang mana dua buah buatan Jerman jenis 209, termasuk Naggala, dan tiga buah kapal selam yang baharu buatan Korea Selatan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.