Rabu, 28 April 2021

Dikritik denda tanpa timbang rasa, polis akan dapatkan fakta sebenar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi jaminan polis akan mendapatkan fakta sebenar berhubung kompaun RM50,000 kepada beberapa peniaga kecil, yang mendapat kritikan dan disifatkan banyak pihak sebagai tidak bertimbang rasa.

“Kita akan dapatkan fakta sebenarnya. Di sini saya tekankan, dia bukan hukuman (yang) mati di situ saja. Maknanya boleh dirayu.

“Sekiranya itu yang dibangkitkan (kritikan), insya-Allah kita akan dengar apa juga alasan, faktor yang diberikan. Nak dengar kedua-dua pihak (polis dan peniaga).

“Saya percaya anak buah saya melakukan kerja itu dengan ikhlas, tapi sekiranya mereka yang terkesan rasa ia tidak adil, bawa ke pengetahuan (kami). Saya rasa perkara ini, Datuk Ketua Polis Kelantan pun boleh selesaikan,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Tolak Rasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini.

Dia diminta mengulas kritikan warganet yang mempertikaikan kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap beberapa peniaga kecil, dengan rata-ratanya menyifatkan kompaun tersebut dikeluarkan tanpa budi bicara.

Beberapa hari lalu, polis Kelantan mengeluarkan kompaun RM50,000 terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir, yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

Menurut Wan Mohd Faisal, ketika dikunjungi polis di hadapan rumahnya kira-kira jam 11 malam, sudah tidak ada lagi pelanggan dan dia hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar ke pekerja kilang, namun tetap dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan berniaga melebihi had masa dibenarkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Wan Mohd Faisal

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan semalam menegaskan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mestilah dikeluarkan mengikut garis panduan.

Mengikut Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun, kata Takiyuddin, pemegang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis tergolong dalam kesalahan kategori tiga.

Mereka boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000 - berbanding RM50,000 yang dikenakan kepada peniaga terlibat di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, semalam memaklumkan yang polis akan meneliti semula perkara itu dengan memanggil peniaga yang dikenakan kompaun.

Dia turut berkata polis akan meneliti perkara berkenaan untuk menawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.