Rabu, 28 April 2021

Buruh dera dua anak dipenjara 22 tahun

fazleensafina

Mangsa dipijak, diugut suspek dengan senjata tajam

TAWAU – Seorang buruh ladang dijatuhi hukuman penjara 22 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mendera dua anak kandungnya pada bulan lepas.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud memerintahkan tertuduh warga Indonesia Nasir Basir, 26, menjalani hukuman penjara 11 tahun bagi setiap pertuduhan dan semua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Nasir didakwa mendedahkan anak perempuannya berusia lima tahun dengan kemungkinan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal serta kesan gangguan emosi di sebuah perumahan pekerja Ladang Giram, Divisyen Ulu Balung, Jalan Tawau-Kunak di sini pukul 3 petang, pada 13 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak lelakinya berusia tiga tahun di tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam rayuan, Nasir yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana ketika kejadian itu dia berasa tertekan kerana masalah rumah tangga selain perlu menjaga dua anaknya sendiri sejak isterinya melarikan diri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kershanathan Pathmanathan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik didera dengan cara dipijak beberapa kali dan diugut dengan senjata tajam oleh bapa mereka dan kejadian yang sengaja dirakam tertuduh menerusi dua rakaman video menggunakan telefon bimbit berdurasi 26 minit dan 16 saat kemudian tular pada 14 April lepas. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.