Ahad, 25 April 2021

Buku ‘Pendedahan Agenda Kristian’: MAIS akan ‘teliti’ jika ada aduan, kata jurucakap exco negeri

 

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak menerima sebarang aduan mendakwa buku berjudul “Pendedahan Agenda Kristian” mencetuskan ketidaktenteraman di kalangan penganut bukan Islam.

Jurucakap kepada EXCO Mohd Zawawi Ahmad Mughni, ketika dihubungi FMT berkata, MAIS menyatakan kesediaan menjalankan penelitian yang diperlukan sekiranya menerima aduan.

Beliau berkata pejabat EXCO sudah pun menghubungi MAIS dan Jabatan Agama Islam mengenai buku berkenaan.

“Ya, memang benar buku itu diterbitkan pihak MAIS dan ia hanya sebagai panduan kepada umat Islam di negeri ini serta menceritakan situasi Kristian sebelum ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, kita belum terima aduan dari mana-mana pihak mengenai penerbitan buku berkenaan, sekiranya ada aduan, barulah pihak MAIS akan buat siasatan atau (memperolehi) maklum balas,” katanya.

Buku digital itu mengupas tentang gerakan Evangelisme dan usaha mengkristiankan orang Islam, khususnya di Selangor.

Buku 120 muka surat itu membuat beberapa kesimpulan, yang antara lain, menggesa umat Islam berwaspada terhadap “musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam”.

Ia juga memberi amaran terhadap golongan yang “berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati dalam kalangan umat Islam”.

Buku itu menyifatkan gerakan Evangelisme sebagai salah satu dari beberapa ciri-ciri mazhab gereja.

Buku digital itu dicetak kali pertama pada 2014, dan salinan e-buku itu bertebaran di media sosial akhir-akhir ini. Ia boleh dimuat turun secara percuma di laman MAIS.

“Penerbitan buku ini merupakan salah satu tanggungjawab MAIS untuk memperkasa dan menjaga agama Islam di bumi Selangor,” kata pengerusi MAIS ketika itu, Mohamad Adzib Mohd Isa, dalam kata aluan buku itu.

“Masyarakat Islam khususnya di negeri Selangor perlu diberikan pendedahan dan kefahaman berkaitan gerakan kristianisasi dan evangelisme.”

Dalam penutup buku itu, MAIS berkata umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut Kristian, namun merasa terganggu oleh tindakan evangelis Kristian yang cuba memurtadkan umat Islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.