JAKARTA – Kapal selam Indonesia KRI Nanggal-402 yang hilang Rabu lalu disahkan ditemui hancur di dasar laut di perairan Bali, kata tentera semalam sekaligus mengesahkan bahawa semua 53 kru maut dalam bencana itu.
Pihak berkuasa mengatakan bahawa mereka menerima isyarat dari lokasi sedalam 838 meter awal pagi semalam. Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan kenderaan penyelamat bawah laut yang dibekalkan oleh Singapura untuk mendapatkan pengesahan visual KRI Nanggala 402.
Lebih banyak bahagian dari kapal juga diambil, termasuk sauh dan pakaian keselamatan yang dipakai oleh anak kapal, demikian menurut pihak berkuasa tempatan.
“Terdapat beberapa bahagian KRI Nanggala 402 – ia dipecah menjadi tiga bahagian,” kata Panglima Tentera Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), Yudo Margono.
Penemuan itu berlaku sehari selepas tentera laut pertama kali mengesahkan pengambilan serpihan dari kapal selam termasuk barang dari dalam kapal seperti kain sejadah anak kapal.
Mereka juga menyatakan bahawa KRI Nanggala-402 tenggelam dan mengakhiri peluang terakhir dalam mencari mangsa yang terselamat.
Antara barang-barang terdahulu yang diperoleh adalah sekeping sistem torpedo dan sebotol minyak yang digunakan untuk melincirkan periskop.
Kapal perang, pesawat dan beratus-ratus anggota tentera telah mengetuai pencarian kapal selam itu sejak ia hilang lewat minggu lalu semasa latihan peluru berpandu dengan harapan dapat bertemu keajaiban sebelum simpanan oksigen yang ada dalam kapal tersebut habis.
Namun semalam, Ketua TNI, Hadi Tjahjanto mengesahkan tidak ada peluang untuk menemukan kru hidup.
“Dengan rasa sedih dan berat hati, saya boleh mengesahkan bahawa kesemua 53 anggota kapal selam KRI Nanggala-402 telah terkorban dalam tragedi ini,” katanya kepada wartawan.
Dalam pada itu, Yudo menyifatkan nahas KRI Naggala-402 bukan disebabkan masalah teknikal atau kesilapan manusia namun disebabkan bencana alam semula jadi.
“Apa yang berlaku bukan disebabkan kesilapan manusia tetapi kerana bencana alam yang tidak dapat dijelaskan,”katanya dalam sidang media semalam.
Beliau turut memberitahu kru kapal dipercayai sempat mengeluarkan jaket keselamatan untuk menyelamatkan diri namun tidak sempat berbuat demikian sebelum kapal itu meletup.
Yudo turut memaklumkan semua kru kapal yang terkorban akan dinaikkan pangkat sebagai menghargai jasa mereka yang berjuang hingga ke nafas terakhir dalam menjalankan tanggungjawab melindungi negara. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.