Khamis, 1 April 2021

52 nelayan Vietnam, 8 bot baru mendarat di jeti haram ditahan

Oleh MASTURAH SURADI

MARITIM Malaysia berjaya menahan lapan buah bot nelayan tempatan kelas C serta 52 orang nelayan Vietnam dalam keadaan mencurigakan di sebuah jeti haram Sungai Endau, Mersing di Johor.

MERSING: Sebanyak lapan buah bot nelayan tempatan kelas C serta 52 orang nelayan Vietnam yang berada dalam keadaan mencurigakan berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mereka ditahan di sebuah jeti haram pada posisi 3.2 batu nautika dari muara Sungai Endau pada pukul 8.45 malam.

“Tiga bot yang ditahan dikesan memasuki Sungai Endau dalam keadaan mencurigakan dan Zon Maritim Mersing terus bertindak dengan mengatur gerak anggota serta aset untuk membuat pemeriksaan.

“Pada masa yang sama, Zon Maritim Mersing juga telah menerima aduan awam berkaitan sekelompok bot nelayan tempatan yang mencurigakan bertambat (ikat) antara satu sama lain di sebuah jeti haram sekitar Sungai Endau.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot nelayan tempatan kelas C yang bertambat di jeti haram itu dikendalikan oleh 52 kru warga Vietnam berusia 22 hingga 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nurul Hizam, kesemua kru tersebut disyaki baru tiba dari Vietnam berdasarkan pemeriksaan ke atas data dan rekod daripada sistem GPSHISTORY.

Jelasnya, mereka juga telah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang mencurigakan dan lesen bot yang telah tamat tempoh.

“Semua kru ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut. Kes ini akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

“Maritim Malaysia mengingatkan kepada seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan.

“Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.