Jumaat, 2 April 2021

241,758 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin

Seramai 241,758 individu di dalam negara yang merupakan kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama, 498,468 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 740,226.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata Selangor kekal sebagai negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin iaitu 69,852, diikuti Perak (49,996) dan Sarawak (48,079).

Sabah pula merekodkan sebanyak 46,023, Kuala Lumpur (44,702), Johor (39,624), Pahang (33,693), Pulau Pinang (33,045), Kedah (30,316), Negeri Sembilan (24,690), Terengganu (24,516), Kelantan (22,596), Melaka (13,758), Perlis (9,846), Putrajaya (5,233) dan Labuan (2,499).

Sementara itu, Selangor turut mencatat jumlah individu teramai telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 iaitu 28,616, diikuti Sarawak (25,287) dan Kuala Lumpur (23,899).

Seterusnya adalah Sabah (21,262), Perak (20,717), Johor (18,696), Pahang (18,507), Kelantan (15,618), Kedah (15,300), Terengganu (13,237), Pulau Pinang (11,563), Negeri Sembilan (10,620), Melaka (6,857), Perlis (5,610), Putrajaya (3,682) dan Labuan (2,287).

Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah seramai 7,625,478 atau 31.4 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,085,983 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.