PUNCA, bangun tidur nasi tak ada.
Akibatnya, kakak dimaki hamun sampai mengugut hendak bunuh mangsa.
Kesudahan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.
Ia berhubung kesalahan pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap kakaknya disebabkan tidak memasak nasi dalam kejadian 17 Mac lalu.
Majistret, Majistret Kamarul Hasyme Rosli menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Mohammad Shafiq Romly, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang buruh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Mahsuri Romly, 37, untuk membunuh mangsa dan keluarga.
Memetik laporan BH Online, kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kubur Tok Pah, Kampung Jambu pada jam 9 malam, 17 Mac lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengamuk dengan memaki hamun serta mengugut pengadu dengan berkata ingin membunuh pengadu dengan ahli keluarganya kerana berpunca pengadu tidak masak nasi sebaik tertuduh bangun tidur.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.
Terdahulu, Siti Edabayu memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa pada masa akan datang.
Siti Atikah pula dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan kerana percaya tertuduh sudah insaf akan kesalahannya.
“Saya yakin tertuduh sudah insaf dan tidak akanmengulangi kesalahan itu. Saya juga memohon hukuman bermula dari tarikh ditangkap,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh ditangkap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.