JIKA sebelum ini jemaah haji perlu menerima beberapa jenis suntikan imunisasi sebelum ke Tanah Suci, mulai tahun ini mereka perlu menambah suntikan vaksin COVID-19 pula sebagai tambahan perlindungan kesihatan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkat,bakal jemaah haji Malaysia tahun ini akan diberi keutamaan dalam pemberian vaksin COVID-19, apabila kerajaan Arab Saudi menetapkannya sebagai syarat wajib.
Bercakap dalam sidang media mengenai perkembangan program imunisasi COVID-19 di sini hari ini Khairy berkata, Tabung Haji akan mengemukakan senarai jemaah haji mengikut jadual setelah mendapat keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.
Bernama.com melaporkan Khairy berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menyediakan vaksin kepada jemaah haji jika ditetapkan sebagai wajib oleh kerajaan Arab Saudi.
“Apabila kita dapat ketetapan bahawa ia adalah wajib, kita akan bekerjasama dengan Tabung Haji untuk melihat kepada senarai yang diluluskan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini, supaya mereka diutamakan dalam pemberian vaksin,” katanya.
Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah, sebelum ini dilaporkan berkata vaksinasi Covid-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.
BERITA BERKAITAN TH tunggu makluman Arab Saudi, iklan pakej haji masih dilarang
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman dilaporkan berkata sebelum ini, kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi berhubung kebenaran pelaksaan haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi.
“Sehingga hari ini, belum ada pengumuman rasmi berkenaan pelaksanan haji tahun ini, sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan, jumlah jemaah yang dibenarkan dan kriteria pemilihan jemaah haji,” katanya.
Syed Saleh berkata, 31,600 bakal jemaah haji yang sudah menerima surat tawaran tahun lalu, diberi keutamaan untuk menunaikan ibadah itu tahun ini sekiranya Arab Saudi mengumumkan kebenaran itu.
“Sekiranya jumlah jemaah luar negara dihadkan pada jumlah tertentu, maka baki yang tidak dapat menunaikan haji tahun ini akan diberi keutamaan untum tahun depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.