PELABUHAN KLANG – Sorok 26 tan beras seludup pelbagai jenis di sebalik pakaian dan peralatan sembahyang.
Itu taktik tiga lelaki bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti penyeludupan beras sejak enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun taktik itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menahan dua suspek warga tempatan berusia 37 dan 38 serta seorang warganegara India berusia 26 tahun ketika intipan dijalankan di sebuah stor di Jalan Telok Gadong Sabtu lalu.
Serbuan dijalankan pegawai dan anggota Batalion 4 Briged Tengah PGA Semenyih jam 12.10 tengah hari ketika tiga lelaki sedang memunggah guni berwarna putih dari sebuah kontena ke dalam sebuah lori.
Pegawai Pemerintahnya, Superitenden Rizal Mohamed berkata, serbuan itu menemui sebanyak 78 guni beras, 259 kampit beras dan 60 kotak beras pelbagai jenama dipercayai diseludup dari India dengan anggaran berat 13 tan beserta sebuah kontena.
“Anggaran harga semasa rampasan beras adalah sebanyak RM584,700 dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM762,180 dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1,346,880,” katanya pada sidang media di Padi Beras Nasional (Bernas) di sini hari ini.
Selain itu, hasil pemeriksaan di gudang, polis menemui sebanyak 214 guni beras, 459 kampit beras dan 200 kotak beras pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai dengan anggaran seberat 13 tan.
“Anggaran harga semasa beras sebanyak RM515,670 dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM698,424 serta jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1,215,094.
“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan melibatkan beras yang tidak bercukai dengan anggaran berat 26 tan bersama kontena sebanyak RM2,659,474,” katanya.
Rizal menambah, dengan tangkapan tiga lelaki dan rampasan itu, pihak polis berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran beras seludup atau tidak bercukai di sekitar Klang, Selangor.
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk proses dokumentasi dan laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 dan semua barangan dirampas. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.