Sabtu, 27 Mac 2021

Perak siasat isu kerosakan Gua Matsoorat selepas penggambaran drama

BH ONLINE
Kerajaan Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat.
Kerajaan Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat.

IPOH: Kerajaan Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat di sini dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, berkata pihaknya menerima aduan berhubung kerosakan di tapak bersejarah itu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Majlis Bandaraya Ipoh telah memberikan kelulusan menjalankan penggambaran kepada Syarikat Juita Viden Sdn Bhd di sekitar Bandaraya Ipoh, mulai 20 Februari lalu hingga 30 April ini.

"Hasil semakan, pihak syarikat produksi itu dimaklumkan bahawa mereka hanya boleh menjalankan penggambaran di tapak luar kawasan gua berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi. - Foto fail NSTP
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan 
dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin 
Mohamed Radzi. - Foto fail NSTP

Bagaimanapun, katanya, terdapat kesan pencerobohan kerosakan pada fosil di dalam gua, namun pihak syarikat menafikan ia dilakukan oleh pihaknya seperti yang didakwa oleh pihak operator.

Susulan itu, Nolee Ashilin berkata satu sesi perbincangan bersama pihak syarikat dan operator gua berkenaan diatur bagi mencari jalan penyelesaian.

Terdahulu, tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan berkenaan selepas penggambaran sebuah drama popular selain mendakwa kru produksi membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran nama tajuk drama itu pada dinding gua.

Pengarah Michael Ang menerusi laman Instagramnya menyatakan kekesalan akan insiden itu dan memberitahu sedang mengesan individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.