Selasa, 30 Mac 2021

'Pelitup muka mesti kekal dipakai' - Khairy

PUTRAJAYA: Individu yang sudah mendapatkan pelalian COVID-19 termasuk dos kedua, masih perlu mengamalkan semua kaedah pencegahan wabak berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata keadaan masih terlalu awal manakala perjalanan masih jauh untuk membolehkan kaedah pencegahan bukan farmaseutikal seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal diiketepikan.

"Mesejnya mudah, sehingga kita memperoleh data sama ada vaksin itu berkesan menghentikan penularan, kaedah pencegahan bukan farmaseutikal dikekalkan," katanya pada pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Beliau diminta mengulas apa yang boleh dilakukan untuk menyeimbangi keperluan penduduk di negara ini mendapatkan vaksin dengan keperluan terus mengamalkan kaedah pencegahan bukan farmaseutikal dalam berdepan penularan COVID-19.

Khairy berkata, pihaknya akan memberi taklimat media berhubung jadual penghantaran vaksin jenis lain pada minggu depan.

Katanya, ia bagi memberi gambaran jelas mengenai jadual penghantaran dan indeks pencapaian utama (KPI) bagi Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau berkata, penghantaran seterusnya vaksin keluaran Pfizer-BioNTech akan diterima pada Rabu ini manakala pihaknya akan bermesyuarat dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) selewat-lewatnya minggu depan mengenai kelulusan bersyarat vaksin keluaran syarikat lain termasuk Sputnik V.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.