Sabtu, 27 Mac 2021

Kahwin? Biarlah! Saya ada duit – Datuk Vida

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

KUALA LUMPUR : Selebriti dan usahawan popular tanah air, Datuk Seri Vida, 50, mendedahkan, dia tidak kisah andai orang bertanya mengenai hasratnya untuk berkahwin sekali lagi, tetapi jangan sehingga pertanyaan itu memakan diri.

Mengaku sering kali ditanya dengan soalan seperti itu, sebagai seorang wanita dan manusia biasa, dia tidak mampu menepis perasaan tersinggung walaupun niat orang tersebut berbentuk gurauan.

“Serabut juga bila ada yang tanya tak nak kahwin lagi ke? Dia ingat soal nikah kahwin ini senang ke? Kalau jodoh tak serasi, tak akan nak ulangi sejarah kahwin cerai dalam hidup? Benda ini sensitif tahu tak.

“Ada antaranya mungkin sekadar bertanya gurau-gurau. Sekurang-kurangnya saya ini pernah lah juga berkahwin. Bayangkan kalau orang yang bujang ataupun wanita bergelar anak dara tua di luar sana ditanya soalan macam itu? Mesti mereka juga terasa,”katanya.

Datuk Seri Vida berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas sebuah video Tik Tok oleh warganet yang memaparkan Vida menegur secara sindiran segelelintir pihak yang bertanya perihal kahwin kepadanya yang telah lama berstatus janda.

Menurut Vida, dia tidak menolak ramai lelaki cuba untuk mendekati, mengenali mahupun mengajaknya berkahwin, tetapi untuk kembali bergelar isteri bukanlah hasratnya pada waktu ini.

“Ada saja yang ajak saya kahwin, bagi ayat-ayat manis, mengurat, bosanlah! Kalau tunjukkan usaha atau mereka serius nak kahwin pun saya tak mahu.

“Cukuplah saya ini cantik dan ada duit, yang lain-lain tak payah tanya. Kalau iya pun saya gatal nak kahwin lagi, biarlah! Saya ada duit dan boleh sahaja nak pilih calon suami.

“Itu kalau saya betul nak kahwinlah. Sekarang ini dalam diri saya ini masih ada rasa terkesan dengan pengalaman lama, jadi memang tidaklah,”katanya.

Selain itu, dalam perkembangan kerjaya seni, Vida memberitahu kini sedang dalam proses untuk menghasilkan single terbaru bernunsa cinta dalam masa terdekat.

Setakat ini telah didatangi empat komposer terkenal tanah air, Vida bagaimanapun masih lagi memilih genre untuk lagu yang lirik ditulis oleh dirinya itu sebelum dilancarkan.

“Ada yang telah saya rakam, tetapi masih belum rasa puas hati. Lagu tentang cinta itu saya buat khusus buat semua wanita yang sama seperti saya, sunyi tanpa pasangan hidup.

“Mungkin juga saya nak lagu itu dalam bentuk balada sebab tak pernah lagi muncul dengan genre sebegitu. Tengoklah nanti macam mana,”kata ibu kepada penyanyi dan pelakon Cik B ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.