KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran tidak berkongsi makanan, minuman atau barangan kegunaan peribadi, dalam usaha mengekang penularan virus COVID-19.
Kajian mendapati, sajian atau hidangan terbuka boleh menjadi punca penularan virus berkenaan.
Ini bermakna, budaya makan berkongsi dulang, berbuka puasa beramai-ramai atau mengunjungi premis yang menyediakan bufet tidak wajar diteruskan dalam usaha semua pihak mahu menghindari jangkitan.
Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata kelaziman biasa dalam beribadat juga sudah berbeza sebelum kemunculan COVID-19.
"Peraturan sama ketika solat fardu dan Jumaat perlu dipraktikkan untuk menghadapi Ramadan, seperti memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.
"Tuntutan kehidupan dalam norma baharu perlu diteruskan jika masyarakat dan negara mahu terus memastikan angka yang menurun dengan baik seperti sekarang berlanjutan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Sazaly berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, tidak bersalaman dan memakai pelitup muka perlu dipraktikkan dalam surau dan masjid.
Katanya, pihak pengurusan juga perlu memastikan pengaliran udara keluar masuk yang baik untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan.
"Mereka yang sudah menerima pelalian masih perlu mematuhi SOP kerana negara belum mencapai imuniti kelompok.
"Pendekkan tempoh majlis, elakkan moreh atau takzirah panjang," katanya.
Pakar Kesihatan Awam Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman, berkata setiap ejen penyakit seperti sesetengah virus mempunyai kecenderungan merebak menerusi saluran tertentu.
"COVID-19 merebak menerusi salur pernafasan, dari hidung hingga paru-paru tetapi apabila berkongsi makanan, kita mungkin berada dalam jarak dekat.
"Justeru, jangkitan boleh berlaku secara transmisi tidak langsung dan keadaan menjadi teruk jika mereka yang berkongsi tidak mengamalkan amalan kebersihan yang baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.