Isnin, 1 Mac 2021

CAP gesa kemasukan nelayan Thailand dikaji semula

Oleh SAFINA RAML
MOHIDEEN ABDUL KADER

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengkaji semula kebenaran membawa masuk nelayan asing dari Thailand ke Kedah mulai minggu depan. 

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, keputusan itu perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin untuk kesihatan, keselamatan dan kepentingan sumber perikanan negara serta kehidupan nelayan pantai.

Tambah beliau, keputusan itu dinilai tidak wajar kerana negara pada masa ini masih belum reda daripada ancaman Covid-19. 

“Selain bimbang wabak tersebut merebak jika pekerja asing dari Thailand datang semula bekerja di sektor ini, ancaman pencerobohan oleh bot-bot pukat tunda ke kawasan tangkapan nelayan pantai akan berlaku. 

“Ini akan menjejaskan sumber perikanan dan pendapatan nelayan pantai di negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 400 pemilik bot laut dalam di Kedah menarik nafas lega apabila mereka diberi kebenaran membawa masuk pekerja nelayan asing dari Thailand mulai minggu hadapan. 

Kebenaran itu membolehkan aktiviti penangkapan ikan laut dalam beroperasi semula selepas hampir lumpuh berikutan ketiadaan tekong dan awak-awak warga asing yang tidak dibenarkan masuk ke negara ini sejak penutupan pintu sempadan ekoran Covid-19. 

Menurut Mohideen, sebelum ini dilaporkan banyak berlaku pelanggaran undang-undang melibatkan Akta Perikanan 1985 dilakukan oleh nelayan warga asing sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan nelayan tempatan di negeri ini. 

“CAP mencadangkan supaya pihak kerajaan mengawal sumber perikanan di kawasan pantai bagi menambahkan hasil tangkapan nelayan tempatan dan keperluan pengguna di negeri ini. 

“CAP turut menggesa kerajaan mengharamkan segera eksport semua jenis hidupan laut demi mengekalkan keperluan itu di pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.