PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan polis berhubung kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa ada unsur-unsur manipulasi.
Laporan polis dibuat Exconya, Aizat Azam di Balai Polis Sri Petaling bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Ashrul Ashryzad Mohd. Nashri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd. Helmy Abd. Latiff.
Aizat berkata, Pemuda UMNO mendapati wujud unsur-unsur manipulasi kandungan buku teks tersebut yang juga telah diteliti pakar sejarah dan ahli akademik, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam.
“Pemuda UMNO yakin terdapat campur tangan dalam penyediaan kandungan sejarah buku teks tersebut yang cuba dimanipulasi sehingga menidakkan fakta lain yang sepatutnya tidak boleh dipinggirkan.
“Ini soal fakta sejarah yang perlu diterima oleh semua pihak dan perlu diketahui generasi hari ini supaya mereka mengetahui dan memahami perjuangan bangsa di tanah air sendiri,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, beberapa persoalan turut dibangkitkan termasuk siapa yang meluluskan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah yang dinyatakan Kementerian Pendidikan.
“Ini kerana pada 24 April 2018 yang disebut kementerian itu sebagai tarikh DSKP diperakui sah adalah melewati tarikh Parlimen dibubarkan iaitu pada 7 April 2018. Ini bermakna proses penulisan dan percetakan berlaku selepas 24 April 2018.
“Siapakah kerajaan yang memerintah dari Mei 2018 sehingga buku Sejarah ini dicetak sebagai Cetakan Pertama pada tahun 2019?” soalnya.
Dalam pada itu, Ashrul Ashryzad menggesa Kementerian Pendidikan menarik semula buku teks tersebut dan mengkaji semula kandungannya agar menepati fakta sejarah.
“Saya melihat isu ini sangat serius kerana membabitkan kandungan fakta sejarah yang telah dimanipulasi pihak yang cuba menafikan fakta sebenar sejarah negara dan tindakan sedemikian rupa sangat memalukan,” katanya.
Mohd. Helmy pula berkata, isu tersebut bukanlah isu parti politik
tetapi isu fakta sejarah yang cuba disembunyi dan dinafikan
signifikannya. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.