Rabu, 31 Mac 2021

Bapa ‘heret’ remaja lembam jadi hamba dadah

Oleh YATIMIN ABDULLAH
 
ROHAYU Ahmad (kanan) memeriksa sebahagian daripada penagih yang dicekup dalam operasi bersepadu bersama polis di seluruh Kelantan, baru-baru ini. - UTSAN/YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS: Perbuatan bapa kandung yang membawanya bersama melepas gian dadah menyebabkan seorang remaja mempunyai masalah lembam turut terjebak menjadi hamba bahan terlarang itu.

Dia yang baru berusia 16 tahun terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral itu sejak tahun lalu dan akhirnya ‘bergelar’ penagih dadah, gara-gara terpengaruh dengan si bapa yang tidak segan-silu mengambil pil kuda di hadapannya.

Paling dikesalkan, lelaki berkenaan dikatakan bertindak membawa si anak ke ‘port’ penagihan bersamanya kerana mahu mengaburi mata masyarakat terhadap kegiatannya yang menagih dadah.

Perkara itu bagaimanapun terbongkar juga selepas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan menahan 149 penagih, termasuk pasangan anak beranak terbabit dalam operasi bersepadu bersama pihak polis baru-baru ini.

Menurut Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad, dua beranak itu dicekup di satu lokasi di Kota Bharu dan hasil ujian air kencing ke atas mereka mendapati kedua-duanya positif dadah jenis pil kuda.

“Hasil siasatan awal kita medapati remaja itu rupa-rupanya Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami masalah lembam.

“Kita terkejut apabila mendapat tahu dia mula menagih dadah sejak tahun lalu ekoran selalu dibawa bapa untuk melepaskan gian di sarang penagihan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat AADK Pasir Mas di Lubok Jong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohayu memberitahu, AADK Kelantan telah berunding dengan keluarga remaja terbabit untuk menempatkannya di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) bagi menjalani proses pemulihan.

“Usia remaja itu terlalu muda, selain dia juga mempunyai masalah lembam. Kita seboleh-bolehnya mahu bantu dia bebas daripada terus menjadi hamba dadah,” ujarnya.

Rohayu berkata, AADK Kelantan akan terus mempergiatkan operasi mengesan penagih dadah di seluruh negeri ini dengan kerjasama polis dan pihak penguat kuasa lain dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.