KUALA LUMPUR: Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, ada seseorang menyuruhnya menumbuk pegawai kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain ketika mangsa berada di biliknya di blok penginapan Asrama Jebat, universiti berkenaan.
Saksi pembelaan ke-20, Muhammad Alif Farhan Aerosni, 25, bagaimanapun berkata dia tidak pasti siapa individu yang menyuruhnya bertindak sedemikian dalam kejadian pada jam 2.05 pagi, 22 Mei 2017.
"Saya sampai di bilik (saya) 04-10 masa itu bilik gelap, semua orang tengah duduk di tempat duduk mereka. Mereka tanya saya nak buat apa, saya jawab nak ambil telefon bimbit di atas katil, kemudian ada seseorang menyuruh saya menumbuk arwah (Zulfarhan) dahulu, saya kemudian tepuk bahu dia (Zulfarhan).
"Selepas mengambil telefon bimbit dan menepuk bahu arwah, saya kemudian keluar dari bilik itu dan seterusnya ke bilik 04-11," katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon yang mewakili tertuduh ketiga, Muhammad Najib Mohd Razi pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Bilik 04-10 adalah bilik Zulfarhan Osman didakwa dipukul dan ditekap seterika wap.
Ditanya Ranjit Singh apa yang Muhammad Najib lakukan ketika saksi pergi ke bilik 04-10, Muhammad Alif Farhan memberitahu Muhammad Najib yang juga rakan sebiliknya sedang tidur.
Ranjit Singh: Adakah Muhammad Najib bersama dengan awak ketika awak pergi ke bilik 04-11?
"Muhammad Najib tidak bersama saya, namun dia (Muhammad Najib) datang ke bilik 04-11 beberapa minit kemudian. Kami terpaksa pergi ke bilik 04-11 untuk mengulang kaji (pelajaran) kerana ada ujian Sains Sukan," jawab Muhammad Alif Farhan yang turut memaklumkan dia mengenali arwah (Zulfarhan).
Disoal peguam mengenai keadaan di bilik 04-10, saksi itu berkata, ketika berada di bilik itu, keadaan bilik suram, kurang cahaya dan ada ramai kadet yang lain namun pada masa yang sama dia tidak mendengar atau melihat kadet terbabit menyoal arwah (Zulfarhan).
Ditanya peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, sama ada saksi nampak anak guamnya melakukan sesuatu di bilik 04-10, saksi itu menjawab dia tidak nampak Muhammad Akmal Zuhairi berbuat apa-apa.
Sementara itu, dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi, sama ada saksi bersetuju individu yang menyuruhnya menumbuk Zulfarhan adalah tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali, saksi menjawab: "Tidak setuju."
Joy Jothi: "Awak pasti bukan dia (Abdoul Hakeem)?"
Muhammad Alif Farhan: "Bukan, sebab lepas 'training' (latihan), suara masing-masing serak."
Muhammad Alif Farhan juga tidak bersetuju dengan cadangan Joy Jothi bahawa keterangannya tidak sepenuhnya benar dan hanya untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang dituduh.
Mengenai cadangan Joy Jothi, adakah ketika kejadian keadaan Zulfarhan berikat (tangan), tidak berbaju dan memakai seluar pendek, saksi menjawab:
"Saya tidak bersetuju kerana ketika kejadian Zulfarhan tengah berdiri, tidak memakai baju, tangan tidak berikat, namun yang memakai seluar pendek saya tidak ingat."
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.
Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 330 KK dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Khamis ini. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.