KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan jemaah yang berumur 70 tahun ke atas
bagi menunaikan solat Jumaat dan fardu di seluruh masjid di negeri ini
bermula esok sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Yang
Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri
Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata selain itu pelaksanaan solat
Jumaat dan fardu di Kelantan juga dibenarkan dengan bilangan jemaah 50
peratus daripada kapasiti dan keluasan masjid.
“Selain itu kuliah agama termasuk kelas Al-Quran juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti dan keluasan masjid dengan penjarakan satu meter antara jemaah. Prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dikekalkan sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata perkara itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
Menurutnya MAIK juga amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap sebarang kegagalan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.