BUTTERWORTH – Tujuh pasangan ditahan berkhalwat di beberapa hotel tiga bintang sekitar Kampung Benggali dan Bagan Luar di sini semalam.
Kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan dalam Ops Cegah bermula jam 8.30 malam yang dilakukan pihak polis dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi itu dilakukan bagi mencegah jenayah dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
”Kita jalankan pemeriksaan di hotel dan restoran. Tiada kesalahan langgar SOP direkodkan tetapi tindakan saman dikeluarkan terhadap pemilik yang melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan.
“Dalam operasi yang sama, seramai 14 individu ditahan JAIPP atas kesalahan berkhalwat.
“Tujuh pasangan yang tidak mempunyai ikatan muhrim itu dibawa ke pejabat JAIPP untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Dalam perkembangan sama, Noorzainy menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP Covid-19 dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang sengaja mengingkari peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.