PADANG TERAP: Lembaga Getah Malaysia (LGM) memperuntukkan RM6 juta kepada 20 koperasi pekebun kecil getah di seluruh negara bagi meningkatkan pengeluaran dan pendapatan penoreh getah.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi , Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan akan memaju dan menambah baik pendapatan pekebun kecil melalui Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (Target).
Katanya, melalui Target, LGM akan menyediakan mesin getah krip bernilai RM300,000 setiap koperasi pekebun kecil getah supaya dapat meningkatkan pengeluaran getah dan pendapatan penoreh di negara ini.
“Oleh itu, saya mengesyorkan supaya penoreh bergerak dalam setiap koperasi yang ada supaya pendapatan mereka dapat ditingkatkan. Harga getah krip ini juga lebih baik berbanding dengan getah skrap sekarang.
“Kita yakin dengan peningkatan pengeluaran getah dan harga daripada getah krip ini mampu meningkatkan lagi pendapatan penoreh yang selama ini dibelenggu dengan masalah harga yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 100 penoreh di Dewan Kompleks Pejabat Agama Daerah Padang Terap di Kuala Nerang di sini hari ini.
Menurut Mohd. Kharuddin, Target merupakan projek pembangunan Pusat Pemprosesan Getah Krip Berkelompok yang diperkenalkan di peringkat industri huluan getah.
“Projek ini secara keseluruhannya dirancang bagi menjayakan transformasi pekebun kecil dengan merealisasikan rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan pendekatan pemprosesan berkelompok.
“Melalui Target itu diharap dapat berkongsi keuntungan secara bersama
di peringkat pekebun kecil serta seterusnya dapat menjamin bekalan
getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara,”
katanya. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.